Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu kepada penghantar-penghantar makanan dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 susulan penularan wabak Covid-19 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 20 APRIL 2020
KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah merangsang perniagaan penghantaran makanan dengan tidak kurang syarikat yang merekrut tenaga pekerja secara besar-besaran.

Ketua Pegawai Operasi DeliverEat, Leong Shir Mein berkata, jumlah tempahan yang diterima syarikatnya di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur telah melonjak 50 peratus dalam tempoh PKP.

Katanya, selain perlu merekrut tenaga baharu, syarikat juga perlu berikhtiar untuk mengekalkan pekerja sedia ada.

“Ada penghantar yang memilih bekerja secara sambilan iaitu dua hari atau empat hari seminggu. Ramai juga yang akan lompat ke syarikat lain yang menawarkan komisen lebih tinggi.

“Oleh itu, saya boleh katakan bahawa adalah sukar untuk bidang ini mencari pekerja baharu, tetapi lebih sukar lagi untuk kekalkan pekerja yang ada,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Shir Mein berkata, isu kekurangan penghantar mungkin bertambah rumit dengan tamatnya PKP apabila ramai penghantar kembali kepada kerja asal mereka.

“Banyak yang memilih menjadi penghantar dalam tempoh PKP kerana tidak dapat melakukan kerja asal.

“Selain itu, ada juga pelajar yang bekerja dengan kami kerana sekolah dan kolej ditutup dalam tempoh PKP,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hungry, Gary Soo berkata, tempahan makanan telah melonjak 30 peratus hingga 40 peratus dalam tempoh PKP.

Katanya, jumlah restoran yang berdaftar turut meningkat 2,000 buah daripada 11,000 kepada 13,000 buah dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, dengan peningkatan tempahan, jumlah penghantar yang ada iaitu seramai 6,000 orang di seluruh negara sudah tidak mencukupi.

“Kami berharap dapat merekrut lebih ramai penghantar termasuk dalam kalangan mereka yang hilang kerja dalam tempoh PKP,” katanya. – MalaysiaGazette