Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Satu aplikasi dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi mempermudahkan urus niaga getah di peringkat peruncit, pembeli dan peraih getah.

LGM dalam satu kenyataan berkata, aplikasi yang dinamakan RRIMniaga itu akan digunakan bagi merekod pelbagai urus niaga berkaitan getah.

“RRIMniaga dapat mempermudahkan aktiviti urus niaga getah sedia ada yang mana peruncit, pembeli dan peraih tidak perlu lagi membeli buku resit, buku rekod jualan dan belian daripada pejabat LGM.

“Penggunaan RRIMniaga akan dapat memastikan proses transaksi getah berjalan lancar dan telus bagi kebaikan semua yang terbabit dalam urusan jual beli getah,” kata LGM, hari ini.

LGM berkata lagi, aplikasi itu mempunyai kelebihan tertentu dan dihubungkan terus dengan sistem data pekebun kecil (IPG) bagi setiap aktiviti urus niaga getah.

Dalam pada itu, pekebun kecil akan mendapat manfaat IPG tanpa melalui proses konvensional.

Ini kerana RRIMniaga merekod segala transaksi pembelian secara automatik dan mengeluarkan resit pembelian dalam talian.

“Pekebun kecil tidak lagi perlu ke pejabat LGM untuk membuat permohonan IPG kerana IPG akan disalurkan terus ke akaun bank pemohon selepas melalui prosedur semakan semasa dan harga pengaktifan IPG diumumkan oleh LGM pada bulan seterusnya.

“Walaupun masih di peringkat percubaan, seramai 304 peruncit, pembeli dan peraih sudah menggunakan aplikasi ini yang terbukti menjimatkan masa serta mampu merekodkan aktiviti urus niaga dengan lebih efisyen,” demikian menurut kenyataan itu lagi.

Sehingga iini, sebanyak 304 peruncit, pembeli dan peraih telah menggunakan RRIMniaga yang terbukti menjimatkan masa, mampu merekod setiap aktiviti urus niaga getah dan menyimpan data dengan lebih efisyen. -MalaysiaGazette