Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kerajaan Sarawak masih diwajibkan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun telah membuat keputusan membenarkan peniaga makanan beroperasi dari jam 3 petang hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, garis panduan itu tidak boleh diabaikan termasuklah mengelak perhimpunan dan kesesakan melibatkan orang awam atau masyarakat tempatan yang boleh melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujarnya, setiap negeri mempunyai kaedah masing-masing berhubung meluluskan kebenaran waktu operasi perniagaan makanan sepanjang bulan Ramadan yang akan bermula esok.

“Namun mereka (Sarawak) tetap mesti mematuhi garis panduan KKM yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Fasa Ketiga PKP.

“Setiap negeri perlu mengikut garis panduan KKM, itu yang penting untuk kita dalam usaha memerangi Covid-19,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Amar Douglas Uggah Embas semalam yang membenarkan peniaga makanan di Sarawak dibenarkan beroperasi dari 3 petang hingga 10 malam sahaja sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPPN) itu dipetik sebagai berkata, kebenaran menjual juadah berbuka dan sahur juga terhad kepada lingkungan kawasan kediaman penjual dan makanan yang dibungkus.

Pada 16 April lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang bentuk perniagaan yang berkaitan dengan bazar dan gerai Ramadan termasuk di dalam bentuk pandu lalu dan tempah dan ambilĀ  tidak dibenarkan.

Sementara itu, disoal sama ada KKM masih memerlukan tambahan sukarelawan ketika trend kes positif menunjukkan penurunan, beliau menjelaskan pihaknya masih menggalakkan sukarelawan tampil membantu memerangi rantaian Covid-19.

“Kita masih menggalakkan sukarelawan untuk berkhidmat dengan KKM tetapi kita kena lihat kepakaran mereka. Ramai yang memohon tetapi kepakaran tiada. Kita juga kena lihat di mana kita boleh tempatkan mereka sama ada di wad, di Unit Rawatan Rapi (ICU) ataupun di tempat lain yang difikirkan lebih sesuai.

“Berhubung sukarelawan, apa yang penting kena lihat juga kemampuan kita atau keperluan KKM di wad atau ICU dan sebagainya,” ujarnya.

Disamping itu beliau turut menjelaskan bahawa Perlis Indera Kayangan adalah negeri pertama yang telah dikenalpasti untuk diisytiharkan sebagai kawasan hijau kerana tidak merekodkan kes baharu dalam tempoh dua minggu terakhir ini.

“Negeri-negeri utara yang lain iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak juga didapati menunjukkan kes positif sudah berkurangan. Jadi kita kena lihat dalam tempoh 14 hari sebelum boleh isytiharkan sesebuah negeri itu zon hijau atau bebas Covid-19,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette