Gambar hiasan

PETALING JAYA – Dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan lebih sebulan, rokok telah habis dijual dan pembekalan semula tidak dibenarkan.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga- Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, dalam keadaan biasa, rokok akan dihantar kepada peruncit setiap minggu.

Beliau berkata, memandangkan sudah lebih sebulan Malaysia berada dalam tempoh PKP, maka stok rokok sudah kehabisan di kedai-kedai.

Chee Meng berharap kerajaan boleh memberi kelonggaran dua atau tiga hari dalam seminggu untuk membenarkan bekalan rokok dihantar, sekali gus mengatasi masalah kekurangan yang sedang berlaku.

“Ramai perokok yang gagal mendapat rokok di kedai runcit telah beralih kepada sumber lain iaitu rokok seludup.

“Saya boleh katakan bahawa keadaannya amat serius pada masa ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, penjualan rokok seludup menjelaskan hasil negara dari aspek cukai selain membahayakan kesihatan mereka yang membeli rokok daripada sumber tidak diketahui.

“Rokok biasa biasanya dijual antara RM12 hingga RM15 berbanding rokok seludup antara RM5 hingga RM7.

“Beza harganya adalah besar dan mewujudkan kebimbangan mengenai kandungan rokok seludup,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Belajar2 lah berhenti merokok…
    Yang tak sayang nyawa hisap rokok seludup tu lantak dio lah… Itu namanya urat otak dah berserabut dengan asap rokok!! Sel otak dah tak berhubung.

  2. Nak isap rokok pebendenya bulan puasa ni. Jgn di layan permohonan ni. Perokok tak bising2 pun. Penjual yg bising2. Tu tandanya penjual yg nak untung. Berapa ngat org boleh seludup rokok masa PKP ni. Lg senang nak tangkap kalau seludup. Harap2 dgn tiada bekalan rokok di tambah dgn bulan puasa ramai yg akan brenti ngisap.

Comments are closed.