Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menasihatkan kepada mana-mana pemain Liga Malaysia (Liga-M) yang menghadapi masalah tunggakan gaji bersama pasukan masing-masing agar membuat aduan rasmi kepada badan induk bola sepak negara itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, tanpa mendapat aduan rasmi dari pemain, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan ke atas pasukan terlibat kerana tidak memiliki sebarang bukti secara ‘hitam putih’.

Ujarnya sekalipun pihak kerajaan masih menguatkuasakan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membenduk pandemik COVID-19, pemain-pemain boleh membuat aduan rasmi menerusi pelbagai saluran termasuk menggunakan e-mel.

“Kita tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pemain setakat ini.

“Macam kes tunggakan gaji beberapa pemain sebelum ini, mereka perlu kemukakan aduan rasmi kepada kami, dan bukan hanya meluahkan perkara berkenaan di laman sosial masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Ujar Stuart, sebelum ini pihaknya sudah pun menegaskan mereka sentiasa bersedia untuk menjadi ‘orang tengah’ dengan berhubung dengan kedua-dua pihak, majikan dan pekerjabagi menyelesaikan masalah.

Isu tunggakan gaji menjadi hangat selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa empat pasukan iaitu Kedah, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang perlu melunaskan tunggakan gaji sebelum membuat pemotongan gaji pemain.

Dalam perkembangan lain, FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah memberi bayangan bahawa saingan Liga-M musim ini tidak akan dibatalkankan selepas merangka perancangan teliti untuk meneruskan pertandingan sama ada liga akan bersambung pada bulan Jun, Julai ataupun Ogos. – MalaysiaGazette