Rodrigo Duterte

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk mengisytiharkan undang-undang tentera jika pengganas komunis mengganggu aliran bantuan barangan kepada warga negara itu yang telah terjejas berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan.

Beliau telah meminta pihak tentera bersiap sedia.

“Saya memberi amaran kepada semua orang, saya meletakkan notis kepada tentera dan polis. Saya mungkin mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera dan tidak akan berpatah balik,” katanya sebelum mesyuarat mengenai langkah membendung wabak koronavirus yang disiarkan secara langsung di rfangkaian televisyen hari ini.

Duterte telah lama bertelagah dengan New People’s Army, dan ia diburukkan lagi dengan kebuntuan proses damai berulang kali yang beliau lancarkan ketika mula menjadi presiden.

Filipina melaporkan 16 kematian dan 271 jangkitan baharu Covid-19, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 462 kes dan jangkitan melonjak kepada 6,981 kes, lapor Reuter.

Pada minggu lalu, Duterte mengancam akan melaksanakan seperti undang-undang tentera bagi menghentikan orang ramai memperlekehkan sekatan perjalanan di ibu negara.

Ia berlaku selepas pihak berkuasa melaporkan peningkatan kereta di jalan-jalan Manila, yang mana jalang lenggang sejak sekatan perjalanan sepenuhnya dilaksanakan sebulan lalu.

“Saya hanya meminta sedikit disiplin. Jika tidak, jika anda tidak percayakan saya, tentera dan polis akan mengambil alih,” kata Duterte ketika berucap yang disiarkan di rangkaian televisyen.

“Tentera dan polis akan menguatkuasakan penjarakan sosial pada perintah berkurung. Ia seperti undang-undang tentera. Anda pilih,” Katanya.

Sebelum ini, Duterte pernah meberi amaran terhadap orang ramai yang melanggar undang-undang sekatan perjalanan bahawa mereka boleh ditembak kerana menyebabkan kesusahan. – Agensi