KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak terus menunjukkan tanda prihatin kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus bekerja sejak wabak Covid-19 melanda negara ini.
Tidak ketinggalan, operator pasaran e-dagang sosial, Fingo Malaysia Sdn. Bhd. (Fingo) menyampaikan sumbangan 15,000 topeng muka untuk digunakan golongan di Hospital Sungai Buloh.
Turut disumbangkan adalah cecair pembasmi kuman bersaiz 500 mililiter sebanyak 960 botol dan tisu basah berjumlah 1,200 pek.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Fingo, C S Lee di hospital berkenaan baru-baru ini selain bantuan yang sama turut diserah kepada Hospital Serdang.
Lee berkata, sumbangan orang ramai untuk hospital itu untuk memastikan petugas barisan hadapan mendapat bantuan yang diperlukan diperlukan secara berterusan dan agar tidak terputus bekalan tersebut.
“Wabak Covid-19 ini membuat rakyat Malaysia terus bersatu untuk bersama memerangi virus ini.
“Kami di Fingo sentiasa prihatin dengan pengorbanan petugasan barisan hadapan dan akan sentiasa berhubung dengan lebih banyak hospital untuk mengenal pasti keperluan segera dan kritikal mereka,” katanya.
Sementara itu, Fingo kini merupakan platform e-dagang pertama di Malaysia yang menjadi antara tiga terbaik dalam aplikasi Play Store dan Apple Store bahagian membeli-belah.
Fingo juga mendapat sokongan pembelian atas talian lebih dua juta pengguna walaupun baru 12 bulan beroperasi di pasaran. – MalaysiaGazette