KUALA LUMPUR – Sebanyak lebih 500 orang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang terdiri daripada doktor dan jururawat ditempatkan di enam stesen sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang untuk menjalankan ujian saringan Covid-19, bermula hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kesemua petugas perubatan barisan hadapan itu akan menjalankan ujian secara berperingkat ke atas lebih 16,000 penduduk, dengan sasaran 2,000 orang sehari.
Katanya, tindakan itu diambil sejak kawasan sekitar Masjid India dan pasar borong itu menjadi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Maka tindakan seterusnya kami memastikan residen atau penduduk yang tinggal di enam blok perumahan A,B,C,D,E,F termasuk Taman Sri Murni, Selayang diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 ini.
“Secara keseluruhan jumlahnya ada lebih 15,000 hingga 16,000 penduduk tinggal di keenam-enam blok rumah bertingkat itu termasuk Taman Sri Murni yang akan dilibatkan dalam ujian ini.
“Keupayaan pasukan kita adalah menguji 2,000 orang sehari dan berharap dalam masa tujuh, lapan hari usaha ini dapat diselesaikan mencakupi kesemua penduduk itu secara efektif tanpa sebarang masalah,” katanya pada sidang media secara langsung dalam Facebook hari ini.
Sementara itu, Annuar berkata, beliau menerima laporan terkini mengenai keluhan dan kesulitan penduduk dapat mendapatkan bantuan bekalan barangan keperluan asas daripada pihak berwajib sejak PKPD dikuatkuasakan Isnin lalu.
Tambahnya, kelemahan yang dikenalpasti dalam sistem pengedaran dan pengagihan makanan dan barang keperluan asas kepada setiap penghuni di Pasar Borong Kuala Lumpur sejak hari pertama penguatkuasaan telah pun diperbaiki dan ditangani secara tuntas.
“Pertama sekali bantuan berbentuk makanan untuk rakyat warga tempatan kitaakan diuruskan dan disampaikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ia akan dihantar oleh Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Dalam hal ini bahan-bahan makanan untuk penduduk di sini kita minta supaya ditambah untuk memastikan ia cukup bekalannya bagi tempoh seminggu akan datang.
“Ini bermakna dalam tempoh dua minggu PKPD dilaksanakan di kawasan berkenaan (Pasar Borong KL), kita akan ada penghantaran atau pengagihan makanan sebanyak dua kali yang terdiri daripada 13 barang keperluan asas yang akan disampaikan secara berperingkat iaitu antaranya beras, gandum, minyak masak, gula, sardin, makanan tambahan seperti mee atau maggi, biskut, serbuk teh dan ikan bilis,” ujarnya.
Menurut beliau, barang-barang keperluan itu sudah diperiksa secara teliti dan mencukupi sebagai bekalan asas bagi tempoh seminggu.
Ujar Annuar, penyampaian bekalan makanan untuk minggu kedua akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi sementara bantuan kemanusiaan untuk penduduk bukan warganegara Malaysia juga dihulurkan, antaranya beras sebanyak 10 kilogram, gandum, minyak masak dan kemungkinan sardin.
Berikutan itu, beliau berkata, beberapa kedai runcit di blok-blok perumahan di kawasan PKPD Pasar Borong Kuala Lumpur kini dibiarkan beroperasi semula bagi memudahkan penduduk di situ mendapat bekalan harian.
“Semalam satu lagi cara tambahan atas permintaan penduduk yang ingin membeli bahan bahan basah seperti sayur ataupun ikan dan sebagainya, kita bersetuju dan akan mengaturkan jadual Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pembekal barang basah.
“Barangkali dua kali seminggu untuk lori bekalan makanan basah seperi ikan, sayur dan sebagainya akan dibenarkan dan dengan itu semua penduduk di keenam-enam blok terlibat tidak mempunyai masalah berkaitan bekalan makanan,” katanya. -MalaysiaGazette