Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd (Puspakom) akan kembali memulakan operasi Pemeriksaan Berkala dan Berkala Semula bagi kenderaan perdagangan kategori tertentu mulai 29 April ini.

Menurut kenyataan Puspakom, operasinya akan dibuka kepada pelanggan di semua cawangan kecuali di Batu Caves, Pandan Mewah, Glenmarie dan Taman Daya.

Perkhidmatan trak bergerak juga akan beroperasi semula pada tarikh yang sama.

“Kesemua operasi itu bergantung kepada lokasinya iaitu untuk Lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak, hari operasi adalah pada Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Manakala untuk Johor Kedah, Kelantan dan Terengganu Puspakom akan beroperasi dari Ahad hingga Khamis (kecuali cuti umum) bermula 8 pagi hingga 5.30 petang juga, ” kata kenyataan itu.

Bagi kategori perkhidmatan kenderaan perdagangan yang diterma Puspakom untuk pemeriksaan adalah kenderaan barangan, perkhidmatan awam dan pelancongan.

Menurut kenyataan itu, Puspakom akan mengumumkan kelak jika perkhidmatan pemeriksaan-pemeriksaan lain beroperasi semula.

Kata agensi itu lagi, cawangan-cawangan yang dibuka juga akan menyediakan khidmat pembaharuan insurans, sementara cawangan-cawangan di Lembah Klang dan zon selatan yang sebelum ini menawarkan perkhidmatan pembaharuan Lesen Kendaraan Motor (LKM) juga akan menyediakan perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, Puspakom meminta pelanggannya membuat tempahan awal melalui sistem MyPUSPAKOM sebelum hadir pemeriksaan dan tiada pelanggan walk-in akan diterima untuk pemeriksaan kecuali untuk kenderaan yang perakuan pemeriksaan telah tamat antara 18 Mac hingga 28 April ini.

“Bagaimanapun, kumpulan ini perlu merujuk jadual berikut untuk memastikan tarikh yang ditetapkan bagi pemeriksaan kenderaan mereka: https://www.puspakom.com.my/news-announcement/

“Kenderaan yang tamat tempoh perakuan pemeriksaan selepas 28 April 2020,diwajibkan membuat temujanji atas talian di MyPUSPAKOM www.mypuspakom.com.my sebelum hadir pemeriksaan.

“Semua pelanggan yang ingin hadir menjalani pemeriksaan kenderaan, perlu membawa Insurance Cover Note sebagai dokumen tambahan selain kad pendaftaran kenderaan asal dan perakuan pemeriksaan terkini dan mendaftar di kaunter pendaftaran di cawangan yang dipilih sebelum 4.30 petang dengan hanya seorang pemandu sahaja dibenarkan masuk ke premis pada bila-bila masa,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast