KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengeluarkan entry permit kepada rakyat negara ini yang terkandas di Singapura untuk pulang.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permit itu akan dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura bagi mempermudahkan urusan di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (Link Kedua).
Jelas beliau, mereka yang berhasrat untuk pulang perlu membuat permohonan melalui emel [email protected] sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh pulang.
“Permohonan sudah pun dibuka dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura menerima kira-kira 900 permohonan dari rakyat Malaysia yang berada di republik tersebut setakat ini.
“Bagi memastikan proses kepulangan berjalan lancar, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Johor dan Jabatan Imigresen Malaysia telah membuat keputusan untuk menerima masuk 400 rakyat Malaysia sehari.
“Bagaimanapun, mereka akan dikenakan kuarantin wajib selama 14 hari di Pusat Kuarantin yang telah diwartakan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Berhubung pergerakan pulang pelajar yang terkandas di kampus, beliau berkata, mereka akan mula pulang esok, tetapi hanya ke negeri yang diisytiharkan zon hijau sahaja.
Kata Ismail Sabri, bagi negeri yang diisytiharkan zon merah, pelajar dinasihatkan pulang ke rumah waris terdekat dalam zon hijau sahaja.
“Yang kita benarkan pulang ialah pelajar dari universiti atau kampus zon hijau ke kampung yang diisytiharkan zon hijau oleh Kementerian Kesihatan.
“Kalau ada dari zon hijau hendak pulang ke zon merah seperti Simpang Renggam, Johor, kita cadangkan mereka pulang ke rumah keluarga berdekatan di zon hijau. Nak pulang ke zon merah tidak boleh.
“Biasanya pelajar yang tinggal di zon merah adalah yang menyewa di luar kampus, jadi, mereka hendak balik ke rumah di zon hijau, perkara ini sedang diperhalusi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan KKM,” katanya. – MalaysiaGazette