Azman Kang Abdullah

KUALA LUMPUR – Isu pelarian etnik Rohingya yang tercetus baru-baru ini telah membangkitkan kemarahan pelbagai pihak, terutama rakyat Malaysia.

Justeru, kerajaan tidak boleh memandang sepi isu berkenaan, sebaliknya perlu ada satu langkah drastik dilakukan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menurut aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah, satu perbincangan di peringkat Asean perlu diadakan bagi mencari jalan penyelesaian sama ada menempatkan mereka di lokasi asing atau dihantar pulang ke penempatan di sempadan Bangladesh-Myanmar di Teknaf dan Kutupalong.

Kata beliau, kerajaan perlu melakukan saringan ke atas pelarian ini, yang tidak mempunyai dokumen daripada Suruhanjaya Tinggi Mengenai Pelarian (UNHCR) perlu dihantar pulang atau ke lokasi yang ditentukan PBB atau Asean.

“Sementara pelarian yang ada di Malaysia dan negara Asean lain, perlu ditentukan agar mereka tidak memiliki sebarang bentuk perniagaan, yang dibenarkan hanyalah bekerja dengan majikan yang dikenalpasti.

“Tindakan undang-undang juga perlu dikenakan kepada mereka yang didapati melanggar undang-undang negara seperti melakukan jenayah atau provokasi melampau.

“Menerusi cara ini, rakyat Malaysia akan merasa lebih terbela dan akan menyantuni sebaiknya pelarian yang ada di negara ini atas nama kemanusiaan seperti yang dilakukan sejak dulu lagi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Isu pelarian etnik Rohingya menjadi hangat sejak beberapa hari lalu selepas tersebar kenyataan mengenai tuntutan hak sama rata oleh Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani.

Sejak itu, pelbagai reaksi diterima dari seluruh rakyat Malaysia terutama menerusi medium media sosial, mengecam tuntutan yang disifatkan tidak masuk akal dan melampau.

Kata Azman Kang, sesuatu yang perlu difahami dalam konteks kemanusiaan adalah Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan selama ini menerima begitu ramai pelarian Rohingya atas sifat kemanusiaan semata-mata.

“Puluhan badan bukan kerajaan (NGO) kita antara yang menjadi juara di peringkat antarabangsa menyalurkan bantuan tanpa henti kepada pelarian Rohingya di Coxs Bazar, Bangladesh dan Rakhine di Myanmar sejak lebih 10 tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast