Sudah menjadi rutin harian Muhammad Aizad Azman untuk mengelap gitar kesayangannya sebelum keluar membuat persembahan busking ketika ditemui Malaysia Gazette di kediamannya di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Muhammad Aizad Azman atau lebih dikenali sebagai Bob adalah seorang ‘buskers’ atau penyanyi jalanan yang sering menghiburkan orang ramai di ibu negara.

Anak jati Pulau Pinang ini mula menjadi penyanyi sejak di bangku sekolah lagi sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur. Dengan sokongan beberapa rakannya, dia menubuhkan kumpulan yang dinamakan ‘Sentuhan Buskers’.

Kemampuan menghiburkan orang ramai terutama pelancong-pelancong asing menyebabkan nama dan populariti ‘Sentuhan Buskers’ menjadi sebutan hingga berjaya menarik ramai peminat mereka setiap kali mengadakan persembahan di hadapan kompleks membeli-belah SOGO dan di Bukit Bintang.

Orang ramai mula berkumpul untuk menyaksikan persembahan busking dari kumpulan Sentuhan Busker yang diketuai oleh Muhammad Aizad Azman atau dikenali sebagai Bob di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2019.

(Gambar kenangan ketika melakukan ‘busking’ tahun lalu)

Namun dengan penyebaran wabak Covid-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytiharkan kerajaan menyebab Bob dan ramai pemuzik jalanan hilang mata pencarian secara tiba-tiba.

Menurut Bob, ini kerana punca utama pendapatan penyanyi jalanan adalah menghiburkan orang ramai di tempat-tempat terbuka.

“Kalau kita tengok perkembangan penularan virus ini, kami menjangkakan kemungkinan larangan berkumpul beramai-ramai seperti di tempat awam akan berlanjutan hinga enam bulan atau setahun lamanya, sekaligus mata pencarian kami sebagai penyanyi jalanan akan terhenti terus sepanjang tempoh tersebut.

“Namun untuk merintih dan merayu pada kerajaan tidak sama sekali kerana kami juga faham mengapa kerajaan terpaksa berbuat demikian. Kami faham ketika ini bukan kami sahaja yang susah, malah ada yang lebih susah di luar sana.

“Untuk itu saya dan rakan-rakan terpaksa berikhtiar mencari alternatif lain bagi mencari rezeki, antaranya mengadakan persembahan secara dalam talian menggunakan platform media sosial masing-masing,” ujarnya yang turut menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung kehidupan.

Bob berkata demikian kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Untuk itu, katanya, mereka akan merakamkan persembahan di rumah sebelum memuatnaik ke Facebook atau Instagram dan meletakkan nombor akaun bank seandainya ada yang ingin memberi sumbangan.

Dalam pada itu, Bob mengakui, mereka juga tak lepas daripada kecaman netizen yang mempertikaikan tindakan mereka berbuat demikian

“Ada yang tuduh kami tak ingat nak mati, ada yang tuduh kami cuba nak melalaikan orang…tetapi kami harap mereka faham kerana ini adalah antara ikhtiar kami untuk menyara keluarga.

“Terima kasih kepada barisan hadapan negara dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kesungguhan untuk menjaga kita sebagai rakyat di negara ini, oleh itu kami penyanyi jalanan tidak akan menambah lagi beban yang ditanggung mereka, kami akan patuh apa sahaja arahan yang diberikan.

“InsyaAllah akan terus mencari rezeki yang halal dengan cara kami sendiri, cara yang tidak akan menyusahkan mana-mana pihak,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin mengikuti persembahan Bob, boleh ke akaun FB https://www.facebook.com/SentuhanBu manakala sumbangan boleh dibuat terus ke akaun 164593128867 Muhammad Aizad Azman (Maybank). – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast