Foto hiasan

SETIAP 28 April, seluruh dunia termasuk Malaysia akan menyambut Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Sedunia. Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia ini bermula pada tahun 2003 oleh pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Ianya menekankan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan melalui kekuatan tripartite dan dialog sosial. Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia ini juga telah disambut bagi memperingati mangsa kemalangan industri dan penyakit pekerjaan oleh Kesatuan – Kesatuan Sekerja di seluruh dunia. Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga diadakan setiap tahun dalam Malaysia sebagai tanda sokongan semua pihak dalam mengutamakan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja.

Namun pada tahun ini, sambutan terhadap hari istimewa
untuk setiap pekerja ini tidak dapat dilakukan seperti yang
biasa dilakukan pada tahun – tahun yang sebelumnya akibat
daripada penularan wabak Novel Koronavirus (Covid-19)
yang sedang melanda serata dunia termasuklah dalam Malaysia. Virus Covid-19 yang amat merbahaya kepada kesihatan manusia ini menuntut setiap pihak termasuklah setiap pekerja dalam negara kita melakukan perubahan drastik dalam menjalani aktiviti seharian mereka.

Walaupun tiada sambutan besar – besaran bagi menyambut Hari
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia pada kali ini, ianya tidak bermakna kita perlu melupakan isu pokok atau mesej yang ingin dibawa melalui sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia ini iaitu keutamaan semua pihak khususnya pihak – pihak yang berada ditempat kerja untuk mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan diri masing – masing. Dengan
penularan wabak Covid-19 ini, keutamaan penjagaan aspek keselamatan dan kesihatan ini menjadi satu perkara yang sangat penting bagi mencegah setiap individu yang berada ditempat kerja dijangkiti dengan virus Covid-19 berkenaan.

Walaupun setiap pihak ditempat kerja memainkan peranan
yang penting dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan diri masing – masing, pihak majikan memainkan
peranan yang paling utama kerana mereka adalah ketua
ditempat kerja. Sebagai seorang ketua ditempat kerja, pihak
majikan perlu dengan sedaya upaya mereka memastikan
tahap keselamatan dan kesihatan pekerja mereka berada
dalam keadaan yang baik pada setiap masa. Pihak majikan
perlu juga memastikan pekerja mereka tidak terdedah
dengan sebarang jenis bahan – bahan pencemaran berbahaya serta sebarang jenis penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan diri perkerja mereka serta orang lain dan ini termasuklah perlindungan daripada penyakit berjangkit seperti Covid-19 yang sedang berlaku pada masa kini.

Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan para pekerja mereka tidak terdedah dengan sebarang risiko yang boleh menganggu tahap keselamatan dan kesihatan diri pekerja mereka dengan sedaya upaya mereka. Pihak majikan perlu memastikan keadaan persekitaran tempat kerja berada keadaan yang selamat dan sihat untuk pekerja mereka melakukan sebarang jenis tugas atau aktiviti kerja. Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak majikan dalam menghadapi masalah penularan sebarang jenis penyakit  berjangkit ditempat kerja mereka dan dalam kalangan pekerja mereka ialah dengan mengenal pasti dan meminta pekerja mereka yang sakit untuk segera berjumpa dengan doktor serta melakukan pemeriksaan kesihatan dengan terperinci, melaksanakan sepenuhnya sistem waktu kerja anjal atau fleksibel dengan memberi kebenaran kepada pekerja mereka melakukan kerja dari rumah, mengalakkan para pekerja mereka untuk menjaga aspek kebersihan diri mereka dengan lebih kerap seperti
membasuh tangan, memastikan keadaan tempat kerja sentiasa bersih dan selamat pada setiap masa serta memberi nasihat keselamatan dan kesihatan yang sewajarnya kepada pekerja mereka.

Pihak majikan juga perlu memberi pendidikan dan
pendedahan maklumat kepada semua pekerja mereka
terhadap penularan sebarang jenis penyakit yang sedang
berlaku. Proses pendidikan dan pendedahan maklumat ini
perlu meliputi proses mengenalpasti simptom – simptom
penyakit serta langkah – langkah yang perlu diambil oleh
pihak pekerja sekiranya mereka mensyaki diri mereka telah
dijangkit dengan sebarang jenis penyakit. Memandangkan
virus penyakit berjangkit Covid-19 sedang menular pada
masa kini diserata dunia, pihak majikan perlu henti menghantar pekerja mereka buat sementara waktu untuk membuat tugasan ke luar negara khususnya ke tempat atau lokasi yang terjejas teruk dengan penularan virus penyakit berkangkit terbabit.
Tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi keselamatan
dan keselamatan para pekerja ini bukan sahaja telah ditentukan dari sudut tanggungjawab moral sahaja malah ianya juga telah termaktub dibawah peruntukkan undang-undang buruh dalam negara kita. Seksyen 15 (1) & (2) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514] telah jelas memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan serta setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.

Kegagalan pihak majikan untuk mematuhi mana-mana
peruntukan dibawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514] ini boleh menyebabkan majikan yang terlibat dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau 2 tahun penjara ataupun kedua – duanya sekali seperti yang telah diperuntukkan dibawah Seksyen 19 Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514]. Isu yang melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan para pekerja tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak terutamanya oleh pihak majikan yang merupakan ketua di sesebuah ditempat kerja. Ianya hendaklah diberikan perhatian dengan sewajarnya dan dipandang dengan serius bagi mengelak perkara – perkara yang tidak diundang daripada berlaku dikalangan para pekerja.

Muzaffar Syah Mallow,

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast