KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menafikan dua lagi berita palsu yang ditularkan di media sosial ketika negara menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Ke-3.
Menurut Pasukan Respon Pantas KKMM, dua laporan palsu kali ini melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antaranya Jakim hari ini menafikan jabatan kerajaan itu terlibat dalam memberi sebarang pengiktirafan atau kelulusan terhadap Majlis Ulama Rohingya.
“Sebaliknya Jakim menjelaskan kuasa mengiktiraf atau melulus (badan bukan kerajaan (NGO) terletak di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya Pasukan Respon Pantas KKMM, hari ini.
Sementara itu, KKM pula menafikan Ketua Pengarah Kesihatannya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan tentang 15 perkara yang perlu dilakukan rakyat Malaysia berhubung wabak Covid-19.
“KKM menafikan ketua pengarah kesihatan pernah mengeluarkan kenyataan tentang 15 perkara penting yang perlu dilakukan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ancaman Covid-19 ini tidak akan berakhir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette