Penghuni melakukan kerja-kerja pembuatan pakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk disumbangkan kepada para barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19 di Rumah Pengasih Warga Prihatin Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Penularan virus Covid-19 yang melanda negara ini turut mencetus isu utama lain antaranya kekurangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan pelindung muka yang diperlukan oleh petugas kesihatan di semua hospital sehingga menjadi isu utama negara.

Namun atas keprihatinan, ramai pihak telah menghulurkan sumbangan untuk memenuhi keperluan para petugas barisan hadapan itu untuk dipakai bagi merawat pesakit Covid-19.

Turut tampil berganding bahu menghasilkan PPE dan pelindung muka adalah penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) di Kajang, Selangor yang bergotong royong menyediakan kelengkapan itu menerusi Projek Pelangi.

Penghuni melakukan kerja-kerja pembuatan perisai muka untuk disumbangkan kepada para barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19 di Rumah Pengasih Warga Prihatin Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2020.

Pengasas bersama RPWP, Saiful Nang berkata, pihaknya berterima kasih atas perhatian rakyat negara ini yang memandang kerja tangan yang dihasilkan oleh anak-anak yatim dan asnaf tersebut.

Jelas beliau, RPWP ibarat tangan yang menyampai dan memegang amanah untuk menghasilkan ke semua peralatan yang merupakan keperluan terdesak ketika ini.

“Tidak dinafikan, pelindung muka disasarkan untuk hospital yang merawat Covid-19 kerana mereka sangat terdesak sebelum diedarkan kepada hospital-hospital saringan yang mana mengikut keperluan.

Penghuni melakukan kerja-kerja pembuatan pakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk disumbangkan kepada para barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19 di Rumah Pengasih Warga Prihatin Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 APRIL 2020.

“Sebenarnya yang menjayakan projek ini adalah rakyat yang bantu dan memberi dana. Hasil dari situ, RPWP adalah tangan yang menyampai, memegang amanah, yang membuatkan dan menyampaikan.

“Projek Pelangi ini tidak ada penyumbang besar kerana tabung ini secara adhoc atas keperluan tetapi ada ramai lebih 8,500 penyumbang. Ada yang sumbang RM2, RM5, RM10, RM1,000 dan paling besar ada seorang RM100,000.

“Tapi yang kecil-kecil sumbang tapi dikumpul akan membentuk jumlah besar untuk buat dan menawarkan keperluan yang diperlukan. Mungkin ia tidak selesai masalah kekurangan 100 peratus tetapi membantu untuk menutup ruang yang ada ketika darurat sekarang ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin, Mohamad Saiful Nang di Rumah Pengasih Warga Prihatin Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 12 APRIL 2020.

Saiful menambahnya, sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula, penghuni RPWP bermula usia 18 tahun ke atas telah menghasil dan mengedarkan 41,140 pelindung muka dan ketika sedang menjahit kain fabrik sepanjang 52 kilometer sebagai tempahan pertama dengan sasaran pengeluaran 2,000 PPE sehari atau 20,000 PPE seminggu.

Katanya, semua penghuni di rumah itu sanggup mengorbankan rehat dan tidur demi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan yang ketika ini lebih penat memberikan rawatan dengan penuh dedikasi melawan Covid-19.

Namun jelas beliau, RPWP berdepan cabaran untuk mendapat bekalan kerana kebiasaan ada pihak membeli dan adanya orang menjual.

Seorang penghuni melakukan kerja-kerja menjahit pakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk disumbangkan kepada para barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19 di Rumah Pengasih Warga Prihatin Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2020.

“Hari ini kita ingin membeli tiada pula yang hendak menjual lagi. Sebelum ini kita bergantung banyak barangan import dan ketika ini, ada duit mampu beli tetapi orangnya tidak mahu menjual kerana mereka turut memerlukan apa yang kita perlu.

“Ketika ini Malaysia diuji kerana kita berdiri sendiri dengan apa yang kita ada iaitu buruk, mahal, tidak efektif itulah kita dan soalnya bagaimana kita membaiki apa yag kita ada pada hari ini.

“Kalau hari ini barang import dari China adalah cantik elok dan berfungsi tetapi dahulu mereka bermula pun bukanlah cantik dan permulaan juga buruk dan mereka perbaiki.

“Hari ini kita masih berharap daripada orang lain dan sampai bila-bila kita tidak akan mampu hasil face shield dan PPE itu sendiri,” katanya.

Pakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang siap dijahit untuk disumbangkan kepada para barisan hadapan yang merawat pesakit Covid-19 di Rumah Pengasih Warga Prihatin Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2020.

Saiful turut berharap Projek Pelangi akan dapat membantu menyatu padu golongan sukarelawan dengan gabungan bahan mentah yang mencukupi pada masa akan datang.

“Ketika ini bukan bercakap ini kerja kita tapi bagaimana hendak satukan kerana ramai sukarelawan tapi kurang bahan mentah. Kita sebenarnya boleh gabung untuk pacu pengeluaran lebih banyak lagi,” katanya mengharap.

Penghuni melakukan kerja-kerja penyusunan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang telah siap dijahit untuk disumbangkan kepada para barisan hadapan merawat pesakit Covid-19 di Rumah Pengasih Warga Prihatin Kajang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2020.

Sementara itu, Projek Pelangi adalah satu program pendanaan secara crowd-funding hasil dari cetusan idea dan inisiatif oleh RPWP yang bermula pada tahun 2015 dengan inisiatif menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Ketika ini, penghuni di RPWP adalah seramai 200 orang dengan usia bayi dua minggu hingga warga emas di Kalangan anak yatim dan asnaf.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh layari laman sesawang www.projekpelangi.com atau menghubungi talian 016-360 5047 selain menyokong crowd funding Bantuan PPE (Covid-19). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast