PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan terdapat makmalnya di Kuching, Sarawak gagal berfungsi dalam saringan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara tersebut.
“Mengenai makmal di Sarawak, jadi kita tidak terima sebarang berita mengatakan makmal kita tidak berfungsi di Kuching.
“Kalau ada pun dilaporkan, kalau makmal ada masalah, setelah menggunakan makmal swasta.
“Tapi kita tak terima sebarang laporan mengatakan makmal itu tidak berfungsi,” katanya pada sidang media harian KKM di sini, hari ini.
Ketika ini KKM mempunyai tiga makmal di Sarawak iaitu di Hospital Umum Sarawak (Hospital Gleneagles), satu makmal di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan satu lagi di Sibu.
Katanya, KKM dalam perancangan untuk menambah jumlah fasiliti makmal sedia ada di Sarawak bagi tujuan penyelidikan.
“Kita ada perancangan untuk meningkatkan dua makmal di Hospital Miri dan juga Hospital Bintulu,” katanya.
Sementara itu, KKM sedang mempertimbangkan untuk menutup kluster eksekutif yang diwujudkan semasa gelombang kedua penularan wabak Covid-19, Mac lalu.
“Kluster eksekutif adalah kluster UDA yang pada peringkat awal gelombang kedua sebelum lagi kita kenal pasti kluster tabligh, kita ada kluster UDA yang melibatkan lebih kurang 120 orang.
“Kita telahpun melaksanakan Acute Case Detection dan kita rasa kes kluster sudah tiada kes baru dan sudah selesai kluster itu.
“Ramai di antara mereka yang masuk ke wad dan juga telah discaj dari wad
“Kluster tersebut ada 9 orang telahpun tampil ke depan untuk menderma darah kepada KKM untuk kita kaji jadi segi plasma untuk antibodi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette