Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) menyampaikan bantuan keperluan makanan kepada penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 APRIL 2020.

KERAJAAN perlu memastikan tiada pihak dalam negara
kita yang terpaksa melalui kesukaran melampau ketika kita
melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP)
hingga 12 Mei. Seperti yang telah diketahui umum, YAB
Perdana Menteri telah mengumumkan perlanjutan tempoh
perintah PKP setelah ia mula dilaksanakan 18 Mac yang
lalu. Melalui perintah berkenaan, orang ramai dalam negara
kita diminta untuk mengawal pergerakkan masing-masing
bagi mengelakkan diri mereka terdedah dengan risiko
jangkitan penyakit novel koronavirus (Covid-19). Perintah
PKP berkenaan juga telah menyebabkan banyak sektor
pekerjaan dalam negara kita ditutup.

Penutupan banyak sektor pekerjaan telah menyebabkan ramai pekerja tidak dapat menjana sumber pendapatan mereka untuk
menampung kehidupan mereka khususnya pekerja yang bekerja sendiri dimana sumber pendapatan mereka selama ini diperolehi sekadar cukup–cukup makan sahaja untuk menampung diri mereka dan keluarga mereka. Kehilangan sumber pendapatan bagi pekerja yang umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ini akan menjadi lebih sukar sekiranya perintah PKP ini dipanjangkan buat satu tempoh yang lama kelak.

Kehilangan sumber pendapatan bagi golongan pekerja ini
akan memberi kesan buruk bukan sahaja terhadap diri pekerja itu sendiri tetapi juga turut memberi kesan buruk kepada keluarga pekerja berkenaan yang bergantung hidup di atas sumber pendapatan yang terhad ini. Kehilangan sumber pendapatan ini juga boleh menyebabkan seseorang itu tidak memiliki sumber kewangan untuk melakukan aktiviti harian mereka seperti membeli makanan, membayar sewa dan hutang, menjelaskan segala bil bulanan dan lain – lain. Sekiranya perkara ini tidak diatasi dengan berkesan dan segera, ia boleh memaksa  eseorang itu melakukan kegiatan jenayah seperti ragut, mencuri, merompak dan lain – lain lagi bagi mendapatkan wang untuk menampung kehidupan mereka.

Pihak kerajaan perlu memberi fokus serius terhadap perkara
ini supaya golongan pekerja yang telah hilang sumber
pendapatan mereka tidak hidup menderita dan sengsara
sepanjang tempoh perlaksanaan PKP ini dalam negara kita.
Baru – baru ini pihak kerajaan telah mengumumkan Pakej
Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai
RM250 bilion untuk membantu rakyat yang terkesan akibat
penularan wabak Covid-19 yang sedang berlaku kini.
Daripada jumlah yang diumumkan itu, hampir RM128 bilion
bakal disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat
manakala sejumlah RM100 bilion lagi akan digunakan untuk
menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan
Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh
ekonomi negara.

Terdapat juga peruntukkan dana-dana peruntukkan disediakan bagi golongan yang memerlukan seperti golongan petani, pekebun, penternak serta para nelayan yang terjejas teruk akibat daripada penularan Covid-19. YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan pakej tambahan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) dan menjamin rakyat terus mendapat
pekerjaan. Pengumuman segala jenis pakej rangsangan ekonomi ini adalah tepat pada masanya kerana rata-rata ramai pihak dalam negara kita yang hadapi kesan teruk akibat daripada penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan sumber pendapatan harian mereka.

Memandangkan banyak bantuan peruntukkan yang bakal
disalurkan kepada rakyat Malaysia seperti yang telah diumumkan melalui pakej rangsangan ekonomi ini, pihak kerajaan perlu memastikan segala jenis bantuan pakej berkenaan disalurkan dengan baik serta yang paling penting segala peruntukkan pakej berkenaan sampai kepada sasaran yang telah ditetapkan. Pihak kerajaan perlu memastikan tidak wujud sebarang ketirisan ketika ingin menyalurkan segala jenis pakej bantuan kepada kumpulan
sasar dalam negara kita.

Dalam menyalurkan semua jenis bantuan seperti yang telah diumumkan melalui pakej rangsangan ekonomi ini, pihak kerajaan juga perlu mendengar segala aduan dan rungutan dari orang ramai terutamanya daripada mereka yang sepatutnya menerima pakej bantuan ini. Ada pihak yang mengadu dan merungut bahawa mereka masih tidak dapat menerima segala bantuan yang ingin disalurkan kepada mereka atas beberapa faktor teknikal. Pihak kerajaan perlu memandang serius diatas perkara ini dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan setiap orang menerima bantuan pakej terbabit.

Selain daripada mengunakan beberapa agensi dalam negara kita bagi menyalurkan segala jenis bantuan pakej, pihak kerajaan
juga boleh memberi pertimbangan untuk menyalurkan wang
bantuan terbabit terus kepada golongan yang memerlukan bantuan berkenaan melalui pertubuhan – pertubuhan badan
bukan kerajaan (NGO) ataupun badan – badan sukarela yang sedia ada dalam negara kita. Selalunya pertubuhan NGO dan badan sukarela ini mempunyai hubungan yang lebih erat dengan rakyat. Terdapat juga rakyat yang berasa lebih selesa untuk mendapatkan bantuan daripada pertubuhan NGO dan badan sukarela ini daripada berurusan dengan pihak agensi kerajaan.

Semua institusi kewangan Islam termasuk pusat zakat juga
perlu aktif memainkan peranan mereka pada ketika ini. Pusat zakat harus melaksanakan segala aktiviti dan program bagi membantu golongan pekerja yang telah hilang sumber
pendapatan mereka dalam negara kita. Pusat zakat harus
mengeluarkan lebih banyak hebahan mengenai proses
penghuluran bantuan-bantuan ini kepada orang ramai.
Pusat zakat juga harus mengurangkan segala jenis kerenah
birokrasi bagi memudahkan orang ramai mendapatkan
segala jenis bantuan kepada mereka. Pusat zakat harus
menghulurkan bantuan kepada mereka yang ingin mendapat
bantuan. Terdapat pihak diluar sana yang memerlukan
bantuan tetapi tidak tahu ke mana harus mereka tuju serta
apakah yang mereka perlu lakukan bagi mendapatkan
bantuan.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast