ZURICH – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengemukakan cadangan supaya lima pemain gantian dibenarkan dalam setiap perlawanan bola sepak berbanding tiga sahaja secara kebiasaannya sebelum ini.
Menurut FIFA, cadangan itu mahu dilaksanakan apabila majoriti saingan liga domestik dan antarabangsa yang ditangguhkan selama ini akibat pandemik Koronavirus 2019 (Covid-19) disambung semula kelak.
Menurut FIFA, langkah itu bertujuan untuk membantu pemain sentiasa cergas di atas padang dan mengelak risiko kecederaan apabila jadual perlawanan padat.
Jurucakap FIFA berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan kepda Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).
Katanya, FIFA akan menunggu kelulusan IFAB untuk cadangan lima pemain gantian sebelum peraturan baharu itu boleh dikuatkuasakan nanti dalam semua saingan liga domestik di Eropah dan benua lain.
“Keselamatan pemain adalah keutamaan FIFA dan cuma kebimbangan kami adalah apabila semua liga kembali bersambung, jadual saingan akan menjadi padat berbanding sebelum Covid-19.
“Ia sudah pasti akan meningkatkan risiko kecederaan pemain di atas padang sewaktu perlawanan dan kini terpulang kepada badan IFAB untuk mempertimbangkan dan meluluskannya dengan melonggarkan undang-undang 3 buat sementara waktu.
“Dengan kelonggaran itu nanti, setiap pasukan boleh melakukan lima pertukaran pemain semasa perlawanan dan satu pemain keenam boleh digantikan sewaktu perlawanan memasuki masa tambahan selepas 90 minit pertama.
“Selepas dapat kelulusan itu nanti, terpulang kepada dikri penganjur liga setiap negara sama ada mahu mengimplimentasikan atau tidak lima pemain gantian dalam perlawanan kelak,” ujar jurucakap itu.
FIAB juga difahamkan akan membuat keputusan positif dalam cadangan tersebut memandangkan ia pernah dibincangkan sebelum ini.- MalaysiaGazette