Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa kerajaan agar dapat mempertimbangkan pemberian bantuan tunai tambahan khususnya kepada rakyat yang tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memasuki fasa ke-4, bermula esok hingga 12 Mei ini dikhuatiri terus membebankan rakyat yang hilang punca pendapatan.

“Amat wajar jika Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memperuntukkan Bantuan Tunai tambahan kepada rakyat terutamanya di kalangan mereka yang tiada pendapatan tetap bulanan.

“Ini termasuk mereka bekerja sendiri, penjaja, peniaga, petani, pengambil upah ikut masa dan hari, jika PKP akan dilanjutkan lagi selepas 12 Mei ini.

“Ramai mula terkesan teruk bukan sahaja dari segi ekonomi bahkan emosi apabila tidak dapat keluar mencari nafkah menampung keperluan keluarga,” katanya dalam hantaran baharu di Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dalam perutusan khas pada 23 April lalu mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan PKP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bermula 29 April hingga 12 Mei ini.

Lanjutan itu adalah PKP fasa keempat yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini sejak 18 Mac lalu.

Menurut Perdana Menteri, berdasarkan data yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), beliau dapati usaha untuk membendung wabak COVID-19 masih perlu diteruskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast