WABAK Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini akan memberi kesan yang besar kepada semua sektor dan individu. Kita akan berdepan dengan satu keadaan yang disebut ‘new normal’ dan juga ‘no more business as usual’.
Semua perancangan negara sama ada ekonomi mahupun sosial, akan berubah. Di sinilah kepentingan sebuah kerajaan yang stabil dan berwibawa yang mampu mentadbir dan menguruskan negara dengan baik. Bukan itu sahaja, kefahaman dan kesediaan rakyat untuk bersama-sama keluar dari krisis besar ini, amat-amat diharapkan.
Saya ingin mencadangkan beberapa pendekatan yang perlu diambil oleh semua pihak dalam menangani perubahan ini.
Pengumuman YAB Perdana Menteri baru-baru ini mengenai perancangan kedepan terutama sekali dalam sektor ekonomi yang sedang dibuat, amat dialu-alukan. Kita berharap dalam perancangan ekonomi ini yang dijangka termasuk pakej-pakej rangsangan ekonomi, beberapa perkara asas perlu diambil kira.
Bukan sahaja untuk memulihkan ekonomi dengan menambahkan pendapatan dan mengujudkan peluang pekerjaan melalui industri sedia ada dan baru, tetapi ianya perlu lebih menyeluruh dengan memasukkan faktor keseimbangan dalam sektor perkhidmatan kritikal, kelestarian alam sekitar dan mengujudkan sebuah masyarakat yang bertanggung jawab, berakhlak dan beradab.
Covid-19 mengajar kita sektor perkhidmatan kritikal tidak boleh diabaikan sama sekali iaitu sektor kesihatan, kebajikan, keselamatan dan pendidikan. Jika sektor-sektor ini dapat dibangunkan dengan cemerlang dan lestari, apa saja kemungkinan baik dari serangan wabak, ancaman keselamatan, kebuluran disebabkan perubahan iklim dan lain-lain pada masa akan datang, akan dapat diatasi.
Kedua, kelestarian alam dari segi menjaga alam sekitar dan sumber kekayaan negara mesti diberi perhatian. Makanan, tenaga dan air (dalam singkatan bahasa Inggeris Food, Energy and Water atau F.E.W.) yang amat berkait rapat dengan kelestarian alam, adalah perkara-perkara asas sesebuah kerajaan perlu jaga dan bangunkan. Jaminan keselamatan makanan, wujudnya sumber tenaga berterusan dan keperluan air bersih, baik dalam masa normal atau masa krisis akan menjadikan sebuah negara itu berdikari dan merdeka, dalam erti kata sebenarnya. Memastikan sumber alam dan asli negara dapat dilindungi dan digunakan dengan optima dan menguntungkan negara, adalah satu keutamaan dalam agenda kita.
Ketiga, satu usaha mewujudkan masyarakat yang bertanggung jawab, berakhlak dan beradab, yang boleh hidup dengan aman dan damai, serta bantu membantu antara satu sama lain, adalah satu manifestasi bahawa kebahagiaan dunia ini bukan hanya terletak pada wang ringgit, tetapi kepada kebahagian jiwa. Ianya dapat dicapai melalui pembentukan individu yang holistik melalui pendidikan bersepadu dan usaha-usaha kearah perpaduan nasional.
Sudah tentu 3 perkara tersebut memerlukan satu perancangan yang teliti, sistematik dan komprehensif. Di sinilah pentingnya pakar-pakar tempatan dalam bidang masing-masing termasuk para ulama, menggembeling pemikiran dan idea mereka untuk membantu pemimpin negara membuat perancangan. Sudah sampai masanya semua pihak pihak mengenepikan kepentingan peribadi dan politik demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat semua terjamin.
Oleh: Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden, Parti BERJASA