KUALA LUMPUR – Syarikat yang telah mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dibenarkan meneruskan aktiviti import dan eksport mereka, berkuatkuasa esok.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tindakan itu selari dengan keputusan kerajaan pada 28 April lalu yang bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan memulihkan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan serta kembali bangkit selepas terjejas akibat Covid-19.
Menurutnya, ia adalah cadangan Majlis Keselamtan Negara (MKN) bagi menyelamatkan pekerjaan, mengembalikan pendapatan negara dan memberi keyakinan kepada pelabur.
“Bersandarkan keputusan ini, semua syarikat dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, syarikat yang mendapat kelulusan untuk
beroperasi perlu mematuhi garis panduan ketat demi menjamin
kesihatan dan keselamatan para pekerja seperti mempraktikkan jarak sosial dan menitikberatkan soal kebersihan.
Menurutnya, syarat itu turut dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti import dan eksport bagi kedua-dua jenis barangan keperluan penting dan tidak penting di pelabuhan yang akan dibenarkan beroperasi 24 jam sehari.
Ka Siong berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa wabak Covid-19 untuk menentukan sama ada membenarkan penyambungan semula semua sektor ekonomi dan subsektor lain mengikut ketetapan MKN.
Tambah beliau, baru-baru ini, kementeriannyua telah membenarkan kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan-pelabuhan utama negara.
“Kerja-kerja pelepasan kargo di pelabuhan-pelabuhan yang terlibat seperti Pelabuhan Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka, Bintulu dan Labuan serta pelabuhan milik kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak telah berjaya mengalihkan kontena-kontena yang sesak di pelabuhan dengan cepat mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan
kesihatan yang termaktub di bawah peraturan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.
Ujar beliau, bagi prestasi pengendalian kontena import, terdapat beberapa pelabuhan yang mencatatkan prestasi pengendalian yang baik dan lancar berdasarkan kepada kadar kapasiti penggunaan lapangan kontena antara 20 hingga 50 peratus seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Tanjung Pelepas, Kuantan, Bintulu, Labuan, Sibu, Kuching, Miri dan Sandakan.
Pelabuhan Pasir Gudang, Pelabuhan Utara (Northport) dan Tawau pula mencatatkan kadar kapasiti 50 hingga 60 peratus, tambahnya.
Menurut Ka Siong, Pelabuhan Barat (Westports) dan Tanjung Bruas pula mencatatkan kadar penggunaan lapangan kontena melebihi 70 peratus.
“Bagi prestasi pengendalian kontena eksport, Pelabuhan Pasir Gudang, Kuantan, Labuan, Sibu dan Sandakan mencatatkan kesesakan di bawah 50 peratus.
“Pelabuhan Barat (Westports) berada di antara 50 hingga 60
peratus, sementara pelabuhan Tanjung Bruas dan Miri pula melebihi 70 peratus,” katanya.
Berdasarkan kepada pencapaian di atas, menurutnya, terdapat perbezaan kadar penggunaan lapangan dan pengendalian kontena eksport di antara pelabuhan-pelabuhan yang mungkin dipengaruhi oleh faktor jumlah pengeluaran output daripada kilang-kilang untuk dieksport yang tidak dapat beroperasi dalam kapasiti sepenuhnya sepanjang tempoh PKP.
Berikutan itu, Ka Siong berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa berkaitan logistik dan pengangkutan yang mempengaruhi syarikat-syarikat dalam tempoh PKP dan akan mengesyorkan polisi yang berupaya mengurangkan implikasi ekonomi. – MalaysiaGazette