KUALA LUMPUR – Datuk Asri Hamidin dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkuatkuasa pada 1 Mei 2020 bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang telah tamat kontrak perkhidmatannya.
Asri bin Hamidin, 54, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi dari Hiroshima Universiti, Jepun.
Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 26 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Pengarah, Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri pada 1 Jun 1994, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
Berpengalaman luas dalam bidang kewangan dan pelaburan strategik termasuk pernah menjawat pelbagai jawatan di Kementerian Kewangan. Jawatan utama yang pernah disandang adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan
(Dasar), Setiausaha Bahagian, Bahagian Syarikat Pelaburan dan Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaburan, MKD dan Penswastaan. – MalaysiaGazette