Seorang Inspektor polis hadir bersama peguam bagi menghadapi pertuduhan kes rogol melibatkan warga Mongolia di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2020

PETALING JAYA – Sekumpulan wartawan yang hadir membuat liputan pendakwaan terhadap seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor dalam kes rogol dua wanita Mongolia dilarang berada dan mendengar pertuduhan tersebut pagi tadi.

Sebaliknya hanya dua wartawan sahaja dibenarkan masuk untuk mendengar pertuduhan kes tersebut.

Ketika lebih 10 wartawan duduk di dalam bilik perbicaraan menunggu kes dimulakan, kerani mahkamah telah mengarahkan   semua pihak lain yang tidak berkenaan berada di luar mahkamah.

Arahan itu dikecualikan kepada tertuduh.

Wakil polis berkata, wartawan pun juga diarahkan keluar dari bilik tersebut.

Jurucakap polis memaklumkan arahan itu dikeluarkan oleh Hakim Norshila Kamaruddin.

Katanya, wartawan perlu mendapatkan kebenaran daripada Pendaftar di tingkat bawah bangunan.

Sekumpulan wartawan telah diiringi seorang anggota polis yang bertugas di mahkamah ke kaunter pendaftaran untuk mendapatkan kebenaran.

Bagaimanapun usaha kami gagal apabila dimaklumkan itu arahan tersebut daripada Hakim Mahkamah Sesyen.

“Kebiasaannya memang wartawan tidak dibenarkan di dalam court room encik..ini arahan hakim,” kata wanita itu di kaunter tersebut,

Kemudian kami dimaklumkan bahawa hakim hanya membenarkan dua wartawan sahaja masuk untuk mendengar pertuduhan kes.

Media difahamkan arahan itu bertujuan memastikan peraturan penjarakkan sosial dilaksanakan di dalam bilik perbicaraan semasa pertuduhan kes dijalankan.

Susulan itu, sekumpulan wartawan hanya menunggu di luar mahkamah. – MalaysiaGazette