KUALA LUMPUR – Ustaz Ebit Lew nampak ceria dan bersemangat sebaik menjejakkan kaki ke Penjara Kajang dalam misinya menyampaikan bantuan peralatan untuk kegunaan banduan pagi semalam.
Jauh, riak wajahnya begitu gembira apabila disambut kedatangan bersama krewnya oleh Pengarah Penjara Kajang, TKP Abdul Halim Ma Hassan kira-kira jam 10 pagi itu.
Namun, disebabkan jadualnya padat dengan aktiviti kebajikan, Ustaz Ebit Lew memaklumkan tidak boleh berada lama di situ kerana berkejar masa untuk ke beberapa tempat lain lagi.
“Saya faham dan memulakan mukadimah ringkas. Tetapi, mungkin seronok dan teruja dapat bersama warga Penjara Kajang, tidak sedar dia bersama kami selama tiga jam.
“Kira-kira jam 1 tengah hari, baru dia terpaksa meminta diri untuk ke destinasi seterusnya,” kata Abdul Halim.
Katanya, ketika bersembang empat mata dengan Ustaz Ebit Lew, pendakwah itu secara tidak langsung telah meluahkan rasa terujanya dengan program yang pihak Penjara Kajang aturkan untuknya.
“Terima kasih Haji, (Ustaz Ebit Lew membahasakan Abdul Halim dengan panggilan Haji) kerana sambut dan aturkan program yang amat baik untuk saya dan krew.
“Saya rasa kembali bersemangat dan bermotivasi untuk lakukan kerja-kerja ini (kebajikan), sebab Haji tunjukkan sokongan kuat kepada kerja saya,” katanya mencerita perbualan beliau dengan pendakwah itu.
Menurutnya, beliau hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Ebit Lew atas sedikit usaha yang dilakukannya itu.
Kata Abdul Halim, beliau memahami apa dimaksudkan Ustaz Ebit Lew, yang pernah tersandar dan terduduk menitiskan air mata kerana ujian serta rintangan diterimanya dalam usaha menyalurkan bantuan kepada mereka memerlukan.
“Haji, sebenarnya saya lakukan semua ini sebab saya menyaksikannya sendiri keperitan dan kesusahan hidup mereka, saya memang menangis kesedihan kerana tidak sanggup melihat keadaan kehidupan mereka,” sambung Ustaz Ebit kepada Abdul Halim.
Katanya, tanpa disedari, mereka berbual panjang dan ketika itu juga beliau menyatakan hendak menumpang populariti Ustaz Ebit Lew.
“Saya lakukan program ini bukan untuk saya, tapi untuk insan yang saya jaga (banduan) di dalam (sel penjara).
“Saya nak minta tolong Ustaz viralkan mengenai kejayaan para penghuni di penjara. Sebenarnya mereka yang ada di dalam penjara ini bukan semua jahat, tapi mungkin tersilap jalan dan haluan sikit sahaja. Atau tidak bernasib baik.
“Tapi ramai sudah berubah dan bertaubat. Mereka sudah insaf. Jadi, masyarajat jangan lagi memandang serong pada insan yang sudah bertaubat dan insaf ini. Mereka mesti terima dan bantu insan ini,” katanya dalam perbualannya dengan Ustaz Ebit.
Beliau turut mencerita, sebenarnya tidak ramai (sukarelawan) yang mahu mengambil cakna mengenai penjara dan banduan.
“Orang tidak minat dengan penjara (mungkin) sebab penjara bukan tempat yang indah dan glamor.
“Jadi, saya nak tumpang populariti Ustaz untuk buka hati dan minda masyarakat supaya tidak lagi memberikan persepsi negatif kepada semua banduan dan bekas banduan yang telah bebas.
“Sebaliknya, bimbing dan bantulah mereka menjadi insan yang berjaya dalam masyarakat,” katanya.
Beliau memberi contoh, kisah seorang bekas banduan yang menerima bimbingan agama dalam penjara dan telah dibenarkan menyampaikan tazkirah agama di sebuah masjid di ibu kota, malangnya diperli dan dihina selepas statusnya sebagai bekas banduan diketahui jemaah.
“Inilah satu bukti, pemahaman dan persepsi negatif masyarakat terhadap bekas banduan. Inilah yang saya mahukan bantuan dari Ustaz,” jelasnya kepada pendakwah yang menjadi ikon kesayangan rakyat Malaysia itu.
Menurut Abdul Halim, mendengar keluahannya itu, Ustaz Ebit Lew berjanji akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu Jabatan Penjara dan penghuninya.
Beliau bersyukur dengan jawapan itu dan menyeru masyarakat di luar sana agar sama-sama membantu penghuni (bekas banduan) menjadi warga yang baik dan bermanfaat.
“Sebab inilah dakwah kita. Terima kasih Ustaz Ebit Lew,” kata Abdul Halim yang menerima sumbangan tiga unit mesin basuh untuk kegunaan penghuni penjara. – MalaysiaGazette