Pihak transit aliran ringan (LRT) membuat tanda jarak sosial untuk penumpang bagi mencegah penularan wabak Covid-19 pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali perkhidmatan rel bandar dan bas henti-henti serta perkhidmatan Rapid Ferry, akan beroperasi mengikut waktu normal dari 6 pagi sehingga tengah malam mulai Isnin ini.

Langkah itu susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bahawa kerajaan memutuskan untuk membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat serta prosedur yang ketat.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi) Muhammad Nizam Alias berkata sehubungan itu, bagi menggalakkan amalan jarakan sosial di dalam tren dan bas, perjalanan waktu puncak dipanjangkan dari 7 pagi hingga 11 pagi pada sebelah pagi dan 4 petang hingga 7 malam pada sebelah petang bagi semua perkhidmatan.

“Ini bermakna kekerapan tren yang lebih tinggi pada waktu-waktu ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kekerapan waktu puncak pagi dan petang untuk LRT Laluan Kelana Jaya adalah tiga minit dan bagi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling enam minit manakala perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang mempunyai kekerapan waktu puncak empat minit dan perkhidmatan monorel pula beroperasi dengan kekerapan enam minit.

Muhammad Nizam berkata pihaknya akan menempatkan staf tambahan untuk mengawal penumpang di pintu masuk stesen dan di platform bagi memastikan jarakan sosial di dalam tren.

“Ini adalah sesuatu yang amat mencabar. Kami mohon agar semua penumpang memberikan kerjasama rapat dengan staf kami dalam menjalankan tugas mereka. Kuasa untuk meneruskan usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 adalah di tangan orang ramai dan para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. Anda mesti bersedia melakukan jarakan sosial secara sukarela dan menyokong satu sama lain,” katanya.

Beliau juga berkata tren dan bas akan memiliki tanda-tanda khas untuk membantu urusan jarakan sosial dan bagi mendapatkan jarak yang sesuai, tren akan menampung 50 peratus penumpang daripada kapasiti penuh untuk rel dan 30 peratus untuk bas.

Para penumpang tren, bas dan feri dinasihati agar sentiasa memakai penutup hidung dan mulut selain mengamalkan penjagaan kesihatan peribadi khususnya mencuci tangan dengan pensanitasi tangan yang akan diletakkan di semua stesen LRT, MRT, monorel dan BRT, hab bas serta pangkalan feri.

Muhammad Nizam berkata kerja-kerja membasmi kuman di dalam tren dan bas kendalian Prasarana serta feri, termasuk di stesen dan hab bas, akan diteruskan.

Beliau berkata staf yang bertugas khususnya kapten bas, anggota polis bantuan dan kakitangan stesen akan turut diperiksa suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memulakan kerja.

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast