KUALA LUMPUR – Aktiviti perniagaan makanan di restoran antara yang dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei ini.
Bagaimanapun, pengoperasiannya perlu mengikuti beberapa syarat yang ditetapkan agar tidak ada pelanggan yang terkena jangkitan Covid-19, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, sekiranya semua arahan dipatuhi pelanggan-pelanggan boleh datang makan di restoran atau membeli makanan dengan rasa selamat dan jika masih was-was boleh membungkus saja makanan dan itu merupakan langkah yang lebih baik.
“Misalnya, mulai 4 haribulan Mei, iaitu hari Isnin minggu depan, Pak Salleh boleh buka semula restoran yang ditutup.
“Jadi, dalam sehari dua ini Pak Salleh boleh pergi ke restoran untuk bersihkan restoran, bersihkan pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak, susun meja dan kerusi, dan beli stok barang-barang mentah.
“Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter antara satu meja dengan meja yang lain. Ini penting supaya di tengah-tengahnya ada ruang yang agak luas untuk pelanggan dan pekerja lalu dan ada jarak yang selamat antara pelanggan yang makan di situ,” katanya menerusi perutusan khas sempena Hari Pekerja 2020 hari ini.
Muhyiddin berkata, untuk memastikan penjarakan sosial ketika pelanggan makan, notis boleh diletakkan di setiap meja yang mana hanya satu, dua atau tiga orang dibenarkan makan bergantung kepada saiz meja yang digunakan.
Pemilik restoran juga perlu membuat garisan di lantai depan kaunter bayaran. dengan mengukur garisan itu
sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain, katanya.
Langkah itu, kata beliau, ada untuk memastikan pelanggan beratur dengan jarak sekurang-kurangnya satu meter di depan atau di belakang pelanggan yang lain ketika mereka hendak membuat bayaran.
Muhyiddin turut mengingatkan agar pemilik restoran menyediakam cecair pembasmi kuman atau sabun di kaunter bayaran untuk digunakan pelanggan selepas membuat pembayaran.
Beliau turut meminta supaya pemilik restoran membeli penyembur pembersih meja yang mencukupi dan membersihkan meja dengan segera setiap kali selepas pelanggan makan sebelum meja itu digunakan oleh pelanggan lain.
Pemilik restoran juga katanya perlu menyediakan topeng muka kepada pekerja serta memeriksa suhu badan pelanggan menggunakan alat pengimbas sesuai sebelum membenarkan pelanggan memasuki restoran.
Muhyiddin turut berpesan agar pemilik restoran mencatatkan nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh mereka datang ke restoran kerana langkah itu penting bagi mengesan sekiranya ada pelanggan yang mengunjungi restoran itu ada dijangkiti Covid-19. – MalaysiaGazette
Bolehkah pelanggan dan pengusaha mematuhi sop yg kerajaan tetapkan, apakah rakyat sdh bersedia dgn corak norma hidup baru yg kerajaan cuba terapkan. Adalah lebih baik jika cdgn itu dilaksanakan berperingkat agar segala pengorbanan dan usaha pencegahan penyebaran virus C19 ini tidak sia2 dan dpt kita lenyapkan sama sekali.