KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei ini menyaksikan kelonggaran dalam sektor ekonomi dan perkhidmatan namun tidak bagi sektor pendidikan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.
Kelonggaran yang diumumkan dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini hanya tertakluk kepada sektor tertentu termasuk kedai makan tetapi pelaksanaannya perlu mematuhi prosedur operasi standard.
Turut diberi kelonggaran aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.
“Jadi, saudara-saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Jogging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat anda mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya. – MalaysiaGazette