Majlis Belia Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya memulakan kempen kesedaran mengenai e-pembayaran sebagai langkah untuk mempercepat urusan jual beli tanpa tunai.

Ia boleh menjadi titik tolak kepada perubahan budaya serta gaya hidup seharian masyarakat selepas bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekaligus menjadikan ia sebagai “norma baharu” dalam kehidupan hari ini, kata Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz.

Menurutnya, e-pembayaran bukan lagi hanya sekadar kemudahan sampingan, sebaliknya, ia telah menjadi sebahagian penting daripada “norma baharu” selain membantu perusahaan kecil dan sederhana menjalankan perniagaan
semasa PKP.

“Dalam hal ini, pihak kerajaan dan agensi terlibat perlu mempersiapkan rakyat untuk mengambil bahagian dalam trend digital dan ruang e-dagang serta bergerak menuju Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Selain itu, MBM juga ingin mengesyorkan pihak kerajaan untuk menilai peluang bagi memajukan ekonomi negara iaitu ekonomi melalui e-pembayaran seperti yang telah dilaksanakan oleh negara lain, contohnya China,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, menyedari risiko sekiranya e-pembayaran itu dilaksanakan tanpa pengawalseliaan yang mampan, jumlah penipuan atas talian akan meningkat dan ini akan menyebabkan kerugian yang lebih besar kepada
negara.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengawalselia perkhidmatan e-pembayaran dengan lebih komprehensif supaya ianya dapat mencapai objektif kemakmuran ekonomi yang diimpikan.

Dari sudut positif katanya, wabak Covid-19 mampu menjadi ejen perubahan kepada revolusi e-pembayaran kerana pelaksanaannya secara holistik terbukti
dapat membantu mengurangkan risiko penularan wabak itu.

“Dalam hal lain, peniaga juga harus lebih kreatif dalam memasarkan produk mereka agar dapat menarik minat pembeli atas talian,” ujarnya. – MalaysiaGazette