KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak supaya dengan serta-merta mengkaji semula kelonggaran perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dikuatkuasakan dalam bentuk PKP Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini.
Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, pada hemahnya, kajian itu perlu disegerakan dengan mengutarakan keselamatan dan kesihatan rakyat di negara ini supaya segala usaha memutuskan rantaian Covid-19 tidak sia-sia.
Wakil rakyat DAP itu memberitahu, memandangkan kes baharu yang dilaporkan hari ini masih tinggi iaitu seramai 105 positif dan negara masih dalam krisis yang tidak boleh dipandang ringan.
“Maka pada hemat saya kelonggaran PKP dalam bentuk bersyarat dengan membenarkan hampir keseluruhan sektor ekonomi beroperasi semula mulai Isnin ini bukan langkah yang difikirkan bijak buat masa ini,” katanya dalam Facebook peribadinya malam ini.
Menurut pemimpin pembangkang di Perak itu, ramai antara rakan-rakannya selain masyarakat secara umum agak keliru dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 4 Mei ini.
Justeru katanya, dalam keadaan risiko yang amat tinggi beliau mempersoalkan apa keperluan yang mendesak Muhyiddin membuat pengumuman yang sedemikian dan apa yang mendesak kerajaan tergesa-gesa melonggarkan PKP.
Dakwa beliau, memang tidak tidak boleh dinafikan PKP menjejaskan pendapatan sebahagian besar rakyat Malaysia selain ekonomi negara juga turut terkandas disebabkan kawalan ini.
“Tetapi, PKP ini adalah penting untuk selamatkan rakyat dan negara daripada pandemik Covid yang digeruni seluruh dunia yang mana setakat ini, seluruh anggota perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi-agensi lain perlu dipuji kerana berjaya mengawal keadaan dengan baik dan berkesan.
“Tetapi, apa akan berlaku selepas ini? Setelah kelonggaran PKP keadaan boleh berubah. Pergerakan rakyat akan bertambah dan sekaligus akan meningkatkan kemungkinan jangkitan juga turut bertambah.
“Bagaimanakah kerajaan akan menangani keadaan jika pendemik ini bertambah teruk dan tidak terkawal seperti beberapa negara yang telah melakukan kesilapan yang sama,” soal beliau lagi.-MalaysiaGazette