BERLIN – Bayer Leverkusen yakin liga Bundesliga yang digantung akhir Mac lalu akan disambung semula pada bulan ini.
Pengarah Sukan kelab itu, Simion Rolfes berkata, beliau berharap kerajaan membuat keputusan positif dengan mengambil kira keadaan liga tersebut.
Menurutnya, Kerajaan negara itu akan bermesyuarat pada 6 Mei ini dan pihaknya telah menerima maklumbalas yang baik daripada ahli politik.
“Kerajaan seolah mengalu-alukan dan menerima baik konsep pelan penyusunan semula meneruskan saingan liga yang ditangguh selama ini tanpa kehadiran penonton di stadium,” katanya.
Menurut Rolfes, beliau tidak dapat meramalkan keputusan yang bakal diambil kerajaan namun mengharapkan dapat perlawanan dapat diadakan pada bulan ini.
Bundesliga terdesak untuk menamatkan baki saingan musim ini berikutan persetujuan telah dicapai dengan penaja rasmi liga bahawa Bundesliga akan disambung dan ditamatkan pada Jun ini.
Dengan berbaki sembilan perlawanan Bayern Munich menerajui liga dengan kelebihan empat mata berbanding Borussia Dortmund yang menduduki tempat kedua.
Bayer Leverkusen yang menduduki tangga kelima masih mengejar slot empat teratas liga untuk layak beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah. – MalaysiaGazette