Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Institusi perbankan Islam di negara ini diminta  melupuskan keuntungan terakru sewaktu tempoh enam bulan moratorium yang diberikan kepada pelanggan.

Ketua Pemuda UMNO berkata, masa inilah institusi perbankan Islam mesti tampil berbeza daripada amalan konvensional dengan menzahirkan nilai-nilai ihsan dan rasa kebertanggungjawaban sosial yang tinggi terutamanya ketika umat dilanda musibah Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengekang mereka daripada bekerja dan memperoleh pendapatan.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki kesal apabila institusi perbankan Islam turut mengikut jejak institusi perbankan konvensional yang lain untuk mengambil kira keuntungan terakru, termasuk kos daripada kerugian selama 6 bulan penangguhan bayaran balik atau moratorium yang ditawarkan kepada pelanggan.

Sedangkan, perbezaannya hanyalah dari sudut pengoperasian bank-bank Islam untuk melakukan perubahan terhadap kontrak-kontrak Syariah yang diguna pakai lantaran pengubahsuaian terma-terma dan syarat-syarat kepada kontrak pembiayaan yang asal.

”Prinsip Syariah adalah jelas, sekiranya ada apa-apa perubahan kepada terma dan syarat yang dipersetujui pada awalnya antara bank dengan pelanggan, maka persetujuan baharu antara kedua-dua pihak perlu dilakukan.

”Sebagai contoh, perubahan kepada cara dan kadar bayaran perlu dimaklumkan dan mendapat persetujuan yang jelas daripada pelanggan.

”Memandangkan perbankan Islam menggunakan pelbagai kontrak Syariah seperti berasaskan jual beli (murabahah) ataupun sewaan (ijarah) ataupun gabungan pelbagai kontrak (ijarah thuma al-bai, tawarruq, musharakah mutanaqisah), maka implikasi kontrak dan pengurusan prosedur mendapatkan persetujuan perlu diperhalusi dengan mengambil kira sifat, prinsip dan kesan kontrak-kontrak tersebut.

”Sebagai contoh, bagi kontrak murabahah yang bersifat tetap dan jelas dari segi harga pokok dan kadar keuntungan. Sebarang perubahan kepada kadar keuntungan atau kaedah bayaran balik bagi yang memilih moratorium, memerlukan persetujuan dan kontrak (aqad) baharu,” katanya.

Tegas beliau, walaupun keperluan memenuhi prinsip Syariah dalam pengoperasiannya, bank-bank Islam tidak wajar hanya melihat aspek kontrak atau akad bagi menghalalkan bank memperoleh keuntungan terakru akibat penangguhan pembayaran oleh pelanggan. – MalaysiaGazette