Smita Kuriakose

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat dalam sektor industri elektrik dan elektronik, peruncitan dan pelancongan yang terdedah kepada kejutan permintaan dan bekalan perlu diberi sokongan dan perhatian khusus oleh kerajaan bagi mengelakkan pelaburan keluar dan seterusnya kehilangan peluang pekerjaan.

Tanpa sokongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) biasanya tidak berupaya untuk bersaing mendapat kontrak perolehan awam.

Keadaan ini boleh mengehadkan kapasiti PKS untuk menerima manfaat daripada projek-projek pelaburan program pelaburan awam yang utama yang mampu memberikan impak positif terhadap permintaan pada peringkat pembinaan dan memanfaatkan pertumbuhan secara jangka panjang.

Ahli Ekonomi Kanan, Bank Dunia, Smita Kuriakose berkata, pembukaan operasi ekonomi esok akan bermula dalam persekitaran ekonomi yang sangat mencabar.

Perdana Menteri mengumumkan anggaran kerugian ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjumlah RM63 bilion.

Akibatnya, ramai orang yang hilang pekerjaan, malah kebanyakan syarikat sama ada korporat besar dan juga PKS tidak terlepas dengan kebanyakan daripada mereka menghadapi ketaksolvenan.

Kesan negatif terhadap pasaran kredit, rantaian bekalan dan produktiviti pekerja hanya akan pulih secara beransur-ansur.

E-perolehan juga wajar digalakkan bagi memberi peluang sama rata bagi PKS bersaing dengan syarikat-syarikat yang lebih besar untuk mendapat tender, menurut Smita.

”Bagi pelaburan langsung asing pula, usaha perlu segera ditumpukan untuk mengekalkan pelabur yang sedia ada dan menjaga rantaian bekalan yang menghubungkan para pembekal asing dan domestik (biasanya PKS).

”Banyak rantaian bekalan dan hubungan pelanggan yang terjejas akibat krisis,” tambah beliau sambil menyifatkan agensi-agensi kerajaan boleh membantu PKS untuk bersatu semula dengan rantaian bekalan dan mencari pasaran domestik dan eksport yang baharu bagi memendekkan masa pemulihan.

Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan kepada syarikat tentang perubahan langkah-langkah sokongan kewangan semasa apabila fasa pembukaan semula pasca PKP diteruskan.

Sokongan sedia ada yang diberikan kepada PKS tidak wajar ditamatkan dalam jangka masa terdekat dan sesetengah langkah mungkin perlu diteruskan walaupun syarikat telah memulakan semula operasi.

Ujarnya lagi, dialog terperinci dengan para wakil daripada pelbagai sektor swasta, terutamanya PKS, boleh membantu kerajaan menyampaikan keputusan yang diambil.

”Langkah-langkah yang diambil dan cara pelaksanaan perlu diteruskan untuk mengurangkan transaksi fizikal atau interaksi secara bersemuka yang tidak perlu.

”Skala langkah juga perlu boleh diubah dan terikat mengikut tempoh dan keadaan. Ini membolehkan kerajaan menambah skop bantuan yang disediakan, mengurangkannya semula apabila krisis berkurangan dan kemudian menambah semula sekiranya virus merebak.

”Walaupun virus diharapkan tidak berkekalan, kerosakan yang dialami oleh ekonomi adalah besar, jadi proses pemulihan berkemungkinan besar tidak sekata.

”Sesetengah bahagian dalam ekonomi global bergerak pada kelajuan yang berbeza dan kadar ini pula akan menentukan pemulihan sektor tertentu yang menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global,” menurut Smita.

Katanya, krisis yang berlaku sekarang sepatutnya diambil peluang untuk menguatkan kedudukan Malaysia menghadapi kejutan luaran, selain mempercepatkan transformasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang dibina berasaskan sektor swasta yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing. – MalaysiaGazette