Gambar hiasan

SUJUD di mihrab, lelehan air mata penyesalan di malam hari, tilawah dan tadabur ayat-ayat Allah dimalam yang syahdu adalah rutin generasi awal yang mendapat tarbiah langsung dari murobbi agung Nabi Muhammad SAW. Ibadat yang pernah diwajibkan pada zaman awal islam ini punya rahsia tersirat dan khazanah yang amat berharga dari dunia dan seluruh ini. Justeru tradisi yang mulia atau “ Madrasah Malam” ini dilanjutkan oleh para
salafusoleh serta orang beriman yang hadir selepas mereka silih berganti.

Berkata Salman Al-Farisi: Rasulullah SAW telah bersabda : ”Hendaklah kamu mengerjakan Qiamulaalil, kerana ia adalah ibadah kelaziman orang-orang soleh sebelum kamu dan menghampirkan kamu kepada Allah”. Berlumbanya mereka menghidupkan malam ini diungkapkan oleh Hasan al-Basri:”Demi Allah,mereka berjaga malam bersama Allah, mulai dari awal malam dan ketika menjelang waktu subuh ( sebelum Subuh ) hampir tiba, mereka duduk dan beristighfar ( minta ampun ) kepada Allah SWT”.

Qiamullail atau madrasah malam Kamus Pelajar Edisi Kedua memberi maksud Qiamullail sebagai berjaga pada waktu malam untuk beribadat seperti bersembahyang sunat,berzikir
,berdoa dan membaca al-Quran. Allah SWT berfirman dalam surah Muzammil,ayat 1-4 yang bermaksud: “wahai orang yang berselimat! Bangunlah ( solat tahajud ) pada waktu malam,
selain daripada sedikit masa (untuk berehat) iaitu separuh daripada waktu malam, ataupun kurang sedikit daripada separuh itu atau lebihkan (sedikit)daripadanya dan baca al-Quran dengan tartil.

Berdasarkan ayat di atas, qiamullail atau madrasah malam ini ialah bangun pada sepertiga malam terakhir bagi melaksanakan solat sunat tahajud, witir, hajat, istikharah, dan membaca al-Quran adalah cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Bagaimana cara Rasulullah berqiamullail Imam Ahmad dan Muslim telah meriwayatkan daripada Sa’ad Bin Hisham, katanya: Aku bertanya kepada Aisyah: Beritahu kepadaku tentang Qiamullail yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.’Aisyah menjawab:’Tidakkah engkau membaca surah ini (al-Muzzammil)? Aku berkata: Sudah tentu. Kemudian ‘Aisyah berkata: ”Sesungguhnya Allah SAW telah memfardhukan Qiamullail dipermulaan surah ini.Lalu Rasulullah dan para sahabat melakukannya selama setahun sehingga bengkak kaki-kaki mereka”

Selepas dua belas bulan berlalu, di akhir ayat ini, Allah telah meringankan kepada kewajipan Qiamullalil dari hukum wajib kepada hukum sunat sahaja. Meneliti ayat 1-4 surah al-Muzzamil, Allah menyuruh Nabi bangun berqiamullalil dan tinggalkan selimut ataupun tahajud sama ada separuh malam, atau kurang sedikit atau lebihkan sedikit dari kadar ini.

Dengan kata lain, Rasulullah dan para sahabat diberi tiga alternatif sama ada untuk memilih satu per tiga atau satu per dua atau dua per tiga malam. Ini juga menunjukkan bahawa kadar yang paling dituntut (diwajibkan kepada Nabi SAW adalah dua pertiga malam. Hasan Basri mengatakan: Demi Allah mereka berjaga malam bersama Allah, mulai dari awal malam dan ketika menjelang waktu subuh (sebelum subuh) hampir tiba, mereka duduk dan beristighafar kepada Allah SWT”.

Berapa rakaat Nabi solat Qiamullail
Mengenai berapa banyak jumlah rakaat Qiamullail ,sebenarnya tidak ada hadnya.Ada pun mengenai rakaat qiamullail yang paling sedikit adalah satu rakaat bagi yang belum melakukan solat sunat witir pada permulaan malam setelat solat isyak. Menurut riwayat yang sahih, Rasulullah SAW mengerjakan solat sunat witir pada waktu malam tidak lebih daripada sebelas rakaat, tetapi beliau
menghabiskan lapan rakaat itu dalam masa kurang sedikit dari dua pertiga malam, dimana beliau membaca al-Quran dengan bacaan yang tartil. Mencontohi qiamullail sahabat dan salafussoleh Nabi Muhammad SAW bangun berqiamullail walaupun dijamin keampunan syurga daripada Allah, Contoh ini memberikan motivasi yang kuat untuk diteladani oleh para sahabat dan Salafusoleh selepas nya. Berikut akan dibawa beberapa contoh kesungguhan mereka dalam berqiamullail .
Imam Al-Bukhari dan Ahmad meriwayatkan dari Utsman an-Nahdiy berkata:“Aku bertemu dirumah Abu Hurairah selama tujuh hari, beliau, isteri dan  embantunya membahagikan malam menjadi tiga bahagian. Salah seorang dari mereka solat kemudian membangunkan yang lainnya”.

Digambarkan bahawa Syadad Bin Aus apabila hendak berbaring di katilnya, ia berkata:”Ya Allah sungguh neraka itu membuatkan aku tidak dapat tidur.Lalu beliaupun bangun dan mengerjakan solat malam. Ibnu Jauzi mengatakan: ”Imam Azzahabi menyebut tentang biografi Ali bin Husain Zainal Abidin, bahawa dia melaksanakan Qiamullail sebanyak seribu rakaat hanya dalam
satu malam”. Para ulamak juga menyebut bahawa Atha Bin Abi Rabah telah melakukan qiamullail sehingga dia terjatuh.

Menceritakan perihal qiamullail dalam kalangan para salafusoleh beliau Ibnu Jauzi membahagikan amalan para saafusoleh kepada tujuh tingkatan: Pertama : Mereka yang menghidupkan satu malam penuh sehinggakan wuduk solat subuh mereka adalah wuduk solat isyak ( wuduk solat isyak tidak
batal hingga solat subuh )
Kedua : Mereka yang solat setengah malam
Ketiga : Mereka yang solat sepertiga malam.Nabi SAW bersabda:’‘Puasa yang paling dicintai Allah adalah puasa Nadi Daud.Ia berpuasa sehari dan berbuka ( tidak berpuasa ) dihari lain berselang.Dan solat yang paling dicintai Allah solat Nabi Daud.Ia tidur setengah malam kemudian solat di sepertiga
malam.Setelah itu ia tidur lagi disisa seperrnam malam (HR : Bukhori dan Muslim )

Keempat: Mereka yang solat pada seperenam malam atau seperlima malam
Kelima : Mereka yang tidak menentukan waktu tertentu.Mereka solat sehingga datang rasa mengantuk ,kemudian mereka tidur.Apabila mereka terjaga,mereka melakukannya semula
Keenam :Sekelompok manusia yang solat malam dengan empat rakaat atau dua rakaat saja.
Ketujuh : Sekelompok manusia yang menghidupkan waktu antara maghrib dan isyak dan beribadah diwaktu sahur.Nabi pernah bersabda : Sesungguhnya dimalam hari itu ada satu waktu yang jika seorang muslim bertepatan waktu itu dalam keadaan meminta kepada Allah kebaikan tentang perkara dunia
maupun akhirat, kecuali Allah akan berikan kepadanya.Hal itu terjadi pada setiap malam .( Riwayat Muslim )

Tips Imam Al-Ghazali agar mudah bangun untuk qiamulail

Dalam kitab Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali telah telah menyenaraikan beberapa tips agar seseorang itu dimudahkan  Allah bangun berqiamullail.Tips ini meliputi 4 sifat zahir dan 4 sifat batin.
4 empat yang bersifat zahir ialah :
1. Jangan banyak makan dan minum kerana ia akan menyebabkan badan rasa berat untuk bangun solat dimalam hari
2. Jangan menyibukkan diri disiang hari dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah

3. Cuba untuk tidur disiang hari ( Quilullah ) kerana ia akan membantu
menguatkan kita untuk bangun beribat dimalam hari
4. Hindarkan dari melakukan perbuatan maksiat disiang hari kerana dosa yang dilakukan itu akan menghalang seseorang itu untuk bangun solat di malam hari.Sufian At-Thauri berkata:”Aku tidak dapat berqiamullail selama lima bulan disebabkan dosa yang kulakukan”
Manakala 4 yang bersifat batin pula seperti dibawah:
1. Hati sentiasa bersih daripada sifat dengki sesama muslim serta menjauhi ketamakan terhadap dunia.
2. Sentiasa takut kepada fitnah dunia serta pendek angan-angan
3. Mengetahui tentang keutamaan Qiamullail
4. Rasa cinta dan kuat iman kepada Allah diiringi keyakinan bahawa tidak ada satu huruf yang diucapkan melainkan dialog dan munajat kepada Allah.

Saranan Dr. ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni, seorang ulamak terkenal masa kini Dr ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qarni merumuskan pandangan para ulamak tentang beberapa perkara yang dapat membantu seseorang bangun solat malam.

Diantaranya ialah:

Bertasbih 33 kali ketika tidur, bertahmid 33 kali dan bertakbir 33 kali. Ini berdasarkan kisah Saidatina Fatimah Binti Rasulullah yang telah meminta dari ayahnya seorang pembantu yang dapat membantunya atau seorang hamba yang boleh membantunya. Maka Nabi SAW bersabda: “Mahukah kamu berdua aku tunjukkan pada satu kebaikan yang lebih baik daripada seorang pembantu, apabila kamu berdua hendak tidur: Bertasbihlah sebanyak 33 kali
dan bertahmidlah 33 kali dan bertakbirlah 33 kali,”( HR Bukhari dan Muslim ).
2. Hendaklah seorang muslim itu tidur disiang hari ,baik dilakukan sebelum waktu zohor bagi yang tidak mempunyai pekerjaan pada waktu itu atau selepas zohor.
3. Mempersedikitkan dosa dan kesalahan,kerana hal ini adalah penyebab utama daripada tersia-sianya suatu amalan,penyebab kemalasan dan kelemahan untuk melakukan qimullail.Satu hari orang ramai bertanya kepada Hassan Basri: ”Wahai Abu Sa’id,kami tidak mampu untuk melakukan qiyamullail.Hassan Basri berkata : Demi Allah kalian telah dikekang oleh kesalahan dan dosa-dosa kalian”.
4. Jangan berjaga hingga larut malam,kerana kalau dia berjaga dengan perkara sia-sia dan kosong akan memudaratkan diri sendiri.

Oleh: Abdul Rahim Sudin, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Seberang Prai Utara,
BA (Hons) Universiti Al- Azhar, Mesir