KUALA LUMPUR – Orang ramai sudah pastinya tidak sabar menanti detik 4 Mei 2020 atau Isnin ini yang mana pelbagai kelonggaran diberikan kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Apa tidaknya apabila semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi semula tetapi secara terkawal, lebih-lebih lagi restoran dan kedai makan.
Orang ramai boleh menarik nafas lega kerana mereka dibenarkan menjamu selera di premis kedai makan, lebih-lebih lagi peminat tegar restoran mamak.
Bagi menyambut kehadiran peminat tegar teh tarik dan nasi briyani, sudah pastinya pengusaha restoran perlu membuat persediaan.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini ke restoran Ali Maju Cafe yang terletak berdekatan pintu 2 Istana Negara di Bukit Damansara mendapati kakitangan restoran terbabit mula membuat tandaan di meja dan kerusi.
Langkah itu bagi memastikan pelanggan yang ingin menikmati juadah di premis itu mengamalkan penjarakkan sosial sejauh satu meter, di mana sebuah meja hanya untuk kegunaan dua pengunjung sahaja.
Malah sebuah meja hanya diletakkan dua buah kerusi sahaja berbanding empat kerusi sebelum pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.
Selain itu, meja di restoran mamak itu juga disusun dengan jarak satu meter menggunakan pita pengukur agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – MalaysiaGazette