Jacob George

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa segera meminda undang-undang supaya pemandu mabuk yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan tindakan paling keras.

Jika tindakan itu dilakukan, dikhuatiri harga nyawa manusia di negara ini semakin murah.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George yang sedih dan kecewa dengan kejadian yang menimpa Koperal Safwan Muhammad Ismail berkata, insiden itu jelas menunjukkan sikap segelintir pemandu yang memang tidak peduli dengan peraturan di negara ini.

Malah, tindakan pemandu-pemandu sebegini seolah-olah terus mencabar undang-undang negara.

”Kita akui hukuman yang ada sekarang ini terlalu ringan sehingga tiada perasaan gerun dalam kalangan pemandu yang suka memandu dalam keadaan mabuk.

”Kejadian-kejadian lampau langsung tidak mendatangkan keinsafan, justeru kerajaan tiada pilihan lain, selain meningkatkan hukuman lebih berat,” katanya kepada Malaysia.

Selain menguatkuasakan hukuman ke atas pemandu mabuk, Jacob berkata, sudah sampai masanya kerajaan menimbang semula pengharaman penjualan minuman keras di kedai-kedai serbaneka.

Sejak dahulu lagi, penjualan minuman keras di kedai-kedai berkenaan ditentang oleh pelbagai pihak tetapi kurang diberi perhatian sewajarnya.

Namun, apabila jumlah kes kematian akibat menjadi mangsa pemandu mabuk terus bertambah, tentangan orang ramai ini sudah tidak boleh lagi dipandang sepi.

Kata Jacob, sudah sampai masanya penjualan minuman keras turut dilesenkan supaya minuman itu dijual di tempat yang betul.

Perkara itu bukan untuk menafikan hak asasi atau kebebasan individu tetapi jika disebabkan ada pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk, keadaan ini perlu dibetulkan semula.

“Jangan hak asasi pemandu mabuk sahaja difikirkan tetapi nasib ibu bapa, isteri, suami atau anak-anak yang hilang tempat bergantung juga perlu diambil kira juga,” katanya.

Dengan langkah melesenkan kedai-kedai khas yang menjual minuman keras ini akan memudahkan pihak berkuasa memantau jika ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Contohnya jika ada kemalangan berlaku, pihak berkuasa bukan sahaja boleh menahan pemandu terlibat tetapi juga melakukan pemeriksaan kedai yang terlibat dan mengesan jenis dan kandungan minuman keras yang dibeli supaya memudahkan penguatkuasaan dan tindakan undang-undang dibuat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast