Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Tidak ada masalah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan nama pemimpin parti itu untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan dalam kerajaan.

Bahkan, ia merupakan perkara yang lazim berlaku dalam proses negosiasi agihan jawatan mana-mana kerajaan campuran walaupun agak lari dari kebiasaan apabila salinan surat berkenaan dibocorkan pihak tertentu.

Bagaimanapun, menurut penganalisa politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof, akan membawa masalah sekiranya pengesyoran itu disertai dengan sebarang bentuk ugutan seperti “UMNO Sabah akan mempertimbangkan langkah seterusnya jika ia tidak dipenuhi”.

“Lantikan jawatan kerajaan adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri atau Menteri jika ia melibatkan jawatan di bawah kementerian.

“Namun, jika kuasa ini tidak dihormati, nescaya sesebuah kerajaan itu akan mengalami kesukaran untuk pergi lebih jauh.

“Tetapi, jika elemen ugutan dan tuntutan atau kritikan berlebihan sehingga menjadi tidak terkawal, dan pemimpin pula dilihat mengutamakan kepentingan diri dan puak sendiri, lebih daripada kepentingan agama, bangsa dan negara, maka hayat kerajaan ini tidak mungkin mampu bertahan lama,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Baru-baru ini sebuah portal mesra Pakatan Harapan (PH) mendedahkan surat ditandatangani Ahmad Zahid kepada Muhyiddin, yang menuntut agar Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah.

Portal itu memetik seorang pemimpin UMNO yang enggan didedahkan identitinya sebagai mengesahkan kesahihan surat bertajuk, “Cadangan dan tuntuan UMNO Sabah” itu.

Namun, Bung Moktar yang merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan dan isterinya, Zizie Izette Samad masih dalam proses dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Kata Dr. Kamarul Zaman, beliau tidak pasti, apakah ayat “UMNO Sabah akan mempertimbangkan langkah seterusnya”, sebagaimana ditulis portal berkenaan, keluar dari mulut Bung Moktar sendiri atau sengaja diada-adakan oleh wartawannya.

“Jika ayat ini keluar dari mulut Bung Mokhtar, ia amatlah dikesali dan tidak wajar diungkapi tetapi, jika ayat ini diada-adakan (ditulis) oleh wartawannya, sahihlah portal berita ini mempunyai agenda jahat,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pihak tertentu menggunakan media untuk menjadi batu api. Media ni di bayar oleh orang orang tertentu yang sda banyak duit. Lihat sahaja Malaysiakini. Setiap hari menjaja pihak tertentu.

Comments are closed.