Datuk Seri Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius terhadap pendirian beberapa Kerajaan Negeri yang enggan membuka semula sektor ekonomi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan beberapa Kerajaan-Kerajaan Negeri terbabit tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan bercanggah dengan dasar Kerajaan Persekutuan.

“Lebih-lebih lagi memandangkan dasar Kerajaan Persekutuan tersebut telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan Covi-19.

Oleh itu, katanya, ia mengatasi (prevail) peruntukan undang-undang bertulis lain berhubung pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Katanya, peraturan bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa pada hari ini antara lain menyenaraikan aktiviti yang dilarang untuk dilakukan oleh mana-mana pihak sepanjang tempoh PKPB.

“Perlu dijelaskan di sini bahawa hanya aktiviti yang dilarang sahaja merupakan satu kesalahan manakala selain daripada aktiviti tersebut, adalah dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKPB.

“Sehubungan ini, PKPB adalah berbeza dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) Tahap 1, 2, 3 dan 4 sebelum ini memandangkan di bawah PKPB terdapat kelonggaran diberikan dalam pelaksanaannya bagi maksud membolehkan hampir semua sektor ekonomi mula beroperasi semula dalam keadaan terkawal dan berhati-hati,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan telah mengambil langkah dengan mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama dengan pemegang taruh sektor-sektor ekonomi khususnya persatuan-persatuan industri, dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa serta pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana bagi mengenalpasti impak kepada kelangsungan perniagaan, rantaian bekalan dan pekerjaan.

Justeru, tambah beliau, keputusan Kerajaan bagi membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi untuk memulihkan dan merangsang semula ekonomi dijangka memberi impak yang positif ke atas pertumbuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara, bukan sahaja di peringkat Persekutuan malahan juga bagi peringkat negeri.

Selain itu, katanya, Kerajaan juga mengambil maklum kenyataan media beberapa pertubuhan industri termasuk Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan
Melayu Malaysia (DPMM) yang telah menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang mana-mana syarikat untuk memulakan operasi bermula hari ini.

Tambah beliau, sekiranya Kerajaan Negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, Kerajaan-Kerajaan Negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.

“Perlu ditegaskan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan adalah sah dari segi undang-undang.

“Akta 342 telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 1 April 1989
berikutan persetujuan Negeri-Negeri pada masa itu termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan satu undang-undang yang seragam bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di Malaysia dan berkuat kuasa di seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri diminta untuk bekerjasama dalam melaksanakan keputusan Kerajaan Persekutuan supaya negara dapat menjana semula keupayaan ekonomi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Penekanan kpd tindakan undang2 bukan lah mrupakan bumbung/pintu utk menutup kekurangan dn kesilapan dlm urusan/hal berkaitan pkpb ini..
    Perbetulkn dn perakui kesilapan itu adalah lbh mulia dn mahal harganya dlm penonjolan keperibadian terpimpim dn memimpin…
    Fikir Fikir kan lah….

  2. Bengong kerajaan negeri ni..depa ada polis sendiri kah nak kuat kuasa undang2?

Comments are closed.