KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan mendapatkan pengesahan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) secepat mungkin untuk mengetahui status sebenar berhubung penganjuran Sukan Para ASEAN 2020.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, berita pembatalan kejohanan itu daripada sebuah portal berita Filipina, Mindanao Times yang bertarikh 1 Mei lalu pastinya mengecewakan semua pihak di Malaysia.
Jelas beliau, ini kerana semua barisan atlet para negara dan juga persatuan sukan kerana adalah antara temasya paling dinanti-nantikan semua pihak.
“MPM sentiasa menghormati keputusan Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) dan Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PHILAPGOC) jika benar ia dibatalkan berikutan isu pandemik Covid-19.
“Soal keselamatan serta kesihatan atlet dan pegawai kontinjen perlu diutamakan kerana nyawa setiap individu lebih bernilai daripada segala-galanya.
“Selaku penaung badan persatuan sukan Para di Malaysia, maka menjadi tanggungjawab MPM untuk menjaga kebajikan dan melindungi nyawa setiap atlet.
“Untuk itu, MPM akan mendapatkan maklumbalas APSF selain cuba menghubungi wakil-wakil negara lain bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Mindanao Times melaporkan Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) telah membuat keputusan untuk membatalkan semua acara sukan pada tahun ini dan sekaligus menarik balik peruntukkan yang disediakan untuk penganjuran Sukan Para ASEAN 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 3 hingga 9 Oktober nanti.
Susulan laporan tersebut, Presiden PHILAPGOC, Michael Barredo dalam satu kenyataan mengakui pihaknya akur dengan keputusan tersebut dan kemungkinan besar Filipina tidak akan menganjurkan temasya berkenaan kesan daripada penularan pandemik Covid-19.
Perkara itu jelasnya juga akan dipanjangkan kepada Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) untuk membolehkan perbincangan diadakan oleh majlis tertinggi APSF mengenai situasi dan masa depan Sukan Para ASEAN di mana Malaysia juga sebahagian daripada negara ahli APSF. – MalaysiaGazette