Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel bercakap pada sidang media susulan kenyataan adiknya di Jakel Mall, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Jakel hari ini menafikan pemilik akaun instagram bernama Nor Lizah mempunyai kaitan dengan syarikat tekstil mahupun rangkaian syarikat itu.

Malah Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel menegaskan, Nor Lizah juga tidak pernah mewakili syarikat itu yang mempunyai cawangan di seluruh negara, jauh sekali mempunyai kaitan dengan adiknya, Muzaffar Mohamed Jakel apabila didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

“Saya ingin menegaskan sekeras-kerasnya bahawa Nor Lizah tiada kena-mengena dengan keluarga Jakel, mahupun rangkaian Jakel. Saya tidak mengenali individu ini dan tidak sesekali pihak pengurusan Jakel atau adik saya sendiri buat kenyataan maki hamun orang Melayu.

“Tidak masuk akal, kita ini berniaga mengharapkan orang Melayu, kalau kita fikir secara waras, kita ini sudah tutup kedai 45 hari, baru nak buka balik, banyak kerugian kita alami, takkan kita nak gaduh dengan pelanggan dengan kata-kata kesat dengan memaki hamun.

“Ini bukan budaya kita nak maki hamun pelanggan dengan perkataan kesat dan kasar sekali. Dengan nama Allah, saya tidak pernah mengenali dan tidak tahu tentang pemilik instagram ini,” katanya kepada MalaysiaGazette yang ditemui di Wisma Jakel hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemilik akaun Instagram bernama Nor Lizah semalam yang membuat hantaran sehari selepas Mohamed Faroz mengemukakan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia berhubung kenyataan adiknya, Muzaffar yang tular di media sosial, awal minggu ini.

Muzaffar, 23, sebelum ini memuat naik kenyataan di akaun Instagramnya iaitu ‘Kesian aku dengan orang Melayu SOP tu Bahasa Melayu pun tak pandai baca’ didakwa telah diputarbelitkan oleh Nor Lizah.

Nor Lizah antara lain membuat kenyataan seolah-olah menyokong kenyataan Muzaffar iaitu berbunyi ‘betul pun apa yang dia cakap tu, Melayu ini memang bodoh bangang dalam segala hal!

Nor Lizah turut berkata, ‘Nampak duit mata kabur, baca tak pandai, semua nak minta PM, padahal benda senang nak faham, tak sangka pula Melayu ini bodoh bangang sangat’. Keturunan asli jadah, esok pergi beratur kat Jakel menjilat balik, sembang tak serupa bikin Melayu kat Malaysia ni’.

Kenyataan Nor Lizah bagaikan ‘mencurah minyak ke dalam api’ apabila menaikkan lagi kenyataan yang menambah kebencian orang Melayu terhadap Jakel termasuklah dengan berkata; ‘Kalau tak nak beli pergi mampus lah, kau orang ingat Jakel boleh lingkup ker?

Dalam pada itu, Mohamed Faroz tidak menolak kemungkinan tindakan memperbesarkan isu adiknya itu didalangi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab khususnya pesaing dan mereka yang tidak senang dengan kejayaan Jakel dalam industri tekstil.

“Saya percaya ada individu ingin menjatuhkan Jakel dan mengambil kesempatan di atas kesilapan adik saya yang diperbesarkan. Kerana itu saya telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang telah tular beberapa hari lepas.

“Begitu juga adik saya Muzaffar yang telah meminta maaf dan telah menjelaskan kronologi dalam video tersebut.

“Malah pihak Jakel juga telah membuat laporan polis ke atas individu bernama Nor Lizah dan hari ini kita buat satu lagi laporan polis kepada pemilik Instagram bernama Nor Lizah, kononnya wakil Jakel, memaki hamun Melayu lagi.

“Sudahlah kita mengalami masalah besar, di mana orang Melayu nak boikot Jakel, takkan lah semalam kita keluar kenyataan maki lagi orang Melayu, tak masuk akal sama sekali,” katanya.

Beliau percaya pemilik akaun Instagram itu mahu kebencian masyarakat Melayu berterusan hingga menyebabkan Jakel hilang pelanggan lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya nanti.

“Bermakna ada orang yang masih provoke lagi supaya kebencian itu diteruskan supaya sampai hari raya ini orang tak payah pergi Jakel, biar Jakel rugi.

“Kalau rugi pun saya tak boleh bagi duit raya, setiap tahun saya bagi duit raya, bukan sikit kepada budak-budak saya, semua dapat duit raya, satu hari sebelum raya saya akan bagi duit raya.

“Niat dia memang nak jatuhkan Jakel supaya rugi dan tak meneruskan perniagaan. Siapa yang rugi, pekerja juga yang rugi, saya mungkin terpaksa mengurangkan jumlah pekerja, orang Melayu kita juga. Tak usahlah buat kerja yang tidak menguntungkan sesiapa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Akaun FB diceroboh siar komen berbaur perkauman

4 Komen

  1. Kalau kita baca bahasa yg digunakn oleh nor lizah juga sama spt yg selalu dibuat oleh RBA…

  2. Klu mmg betul sekali pun akaun dia telah digodam tu hanya pihak berkenaan shj yg boleh siasat..cuma disini perkara timbul akibat kesilapan dr adik pemilik kerana telah membuka ruang untuk pesaing luar menjatuhkan perniagaan abangnya sendiri dgn mengeluarkan komen2 yg x sepatutnya dibuat..dlm perniagaan pihak lawan akan sentiasa menunggu peluang terbuka utk menjahanamkan pesaing jika ada ruang yg diberi..oleh itu berhati2lah membuat sebarang kenyataan apabila diprovoke oleh soalan2 yg x sepatutnya dijawab oleh mereka yg tidak berkenaan.

Comments are closed.