KUALA LUMPUR- Hampir keseluruhan responden (96.3 peratus) yang menyertai Servei Khas Kesan Covid-19 kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) berpendapat wabak Covid-19 telah mempengaruhi gaya hidup mereka.
Sejumlah 92.9 peratus responden pula menyatakan kesediaan untuk beradaptasi dengan cara hidup baharu selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kaji selidik yang dijalankan oleh Jabatan Statistik Malaysia itu mendapati 90.9 peratus responden menjadikan kesihatan dan nyawa sebagai keutamaan manakala baki menyatakan keutamaan mereka adalah pendapatan (4.6 peratus) dan kehidupan kembali seperti normal (4.5 peratus).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dapatan daripada survei itu meskipun tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Malaysia namun masih boleh digunakan untuk menyokong dalam memberi gambaran situasi semasa.
“PKP dan penularan pandemik COVID-19 memberi kesan perubahan sistem atau cara bekerja bagi kebanyakan individu dan syarikat sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta.
“Dengan kelonggaran PKP yang telah diberikan, majoriti masyarakat tidak lagi menjalankan tugas mereka seperti kelaziman sebelum ini dan mereka perlu beradaptasi diri dengan budaya norma baharu dalam kehidupan termasuk pekerjaan dan aktiviti seharian.” Katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai 41,386 responden meliputi seluruh Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas telah menyertai Survei Khas Kesan COVID-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) telah dilaksanakan secara atas talian pada 10 hingga 24 April 2020 yang lalu.
Dalam pada itu kajian tersebut juga mendapati, sejumlah 96.1 peratus responden berpuas hati dengan petugas kesihatan (frontliners) dan fasiliti kesihatan yang disediakan kerajaan dalam menangani COVID-19
Dari aspek pendidikan pula, majoriti responden iaitu 54.5 peratus menyatakan bahawa tahap capaian internet bagi pembelajaran atas talian adalah sederhana.
Susulan dari kesan COVID-19 ini, kebanyakan institusi pendidikan telah mengadakan sesi pembelajaran secara atas talian dan kajian mendapati secara purata 67.5 peratus responden/anak melaksanakan sesi pembelajaran atas talian dalam tempoh 1 sehingga 5 jam sehari sepanjang PKP.
Sebanyak 46.3 peratus responden menyatakan waktu capaian pembelajaran atas talian adalah lebih pantas pada siang hari iaitu di antara jam 7 pagi hingga 12 tengahari.-MalaysiaGazette