Walt Disney Co. akan memulakan strategi baharunya untuk memulihkan semula perniagaan taman temanya yang telah kehilangan keuntungan sebanyak AS$1 bilion berikutan perintah berkurung Covid-19.
Dalam satu kenyataannya, Disney berkata, ia akan membuka semula taman tema Disneyland di Shanghai pada 11 Mei tetapi akan mengehadkan jumlah pengunjung dan melaksanakan langkah-langkah penjarakan sosial yang ketat semasa bermain dan berada di restoran.
“Kami akan mengambil langkah berperingkat dengan mengehadkan kehadiran pengunjung dengan menggunakan sistem tempahan dan kemasukan awal, mengawal kesesakan dengan mengamalkan penjarakan sosial dan prosedur kesihatan dan pencegahan yang diminta oleh kerajaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Robert Chapek dalam satu sidang telefon bersama para penganalisis.
Menurut Disney, mereka tidak dapat mengagak bilakah taman-taman lain, kedai dan perkhidmatan kapal persiaran akan dibuka semula.
Menurut Chapek, syarikat hanya akan membuka semula lokasi-lokasi yang tidak merugikan.
“Kami tidak akan membuka mana-mana taman melainkan ia boleh memberi sumbangan positif kepada kos operasi dan keuntungan,” katanya.
Di China, Disney akan melaksanakan strategi pembukaan semula taman tema itu secara perlahan-perlahan.
Pengunjung Disney Shanghai perlu membila tiket masuk yang sah pada tarikh-tarikh tertentu sahaja manakala pemegang pas tahunan perlu membuat tempahan sebelum datang.-Agensi