Kemudahan Sil-li yang didakwa akan digunakan untuk program peluru balistik Pyongyang. foto Agensi

SEOUL – Satu kemudahan baharu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang dipercayai ada kaitan dengan peluasan program peluru berpandu Korea Utara.

Pusat Pengajian Antarabangsa dan Strategi (CSIS) memaklumkan imej satelit komersialnya menunjukkan kemudahan dan struktur bawah tanah kawasan berhampiran mempunyai kapasiti untuk digunakan bagi peluru berpandu antara benua terbesarnya, yang pakar-pakar percaya boleh melepaskan bedilan di mana-mana lokasi di Amerika Syarikat.

Kemudahan itu dibina sejak tahun 2016 dan membabitkan terminal rel berbumbung dan bangunan-bangunan yang boleh diakses kenderaan, menurut laporan CSIS.

Ia juga berhempiran dengan kilang pembuatan komponen peluru berpandu di kawasan Pyongyang.

“Mengambil kira seluruhnya, kemudahan itu seolah-olah dibina untuk menyokong operasi peluru berpandu,” tambah laporan tersebut.

Laporan itu dinamakan Kemudahan Sokongan Peluru Berpandu Balistik Sil-li.

Kedutaan Korea Utara di Beijing tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai perkara tersebut.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan pula berkata, pihaknya tidak sesuai untuk mengulasnya.

Rundingan untuk menghapuskan program nuklear antara Pyongyang dan Washington masih tergendala selepas pertemuan antara dua pemimpin negara itu gagal tahun lalu.

Pakar-pakar berkata, kegagalan rundingan itu memberi peluang kepada Korea Utara untuk meluaskan senjata nuklear dan peluru balistik.

Terletak di sudut barat daya Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang – kira-kira 17km (10 batu) barat laut ibu negara Korea Utara – kemudahan Sil-li merangkumi kira-kira 442.300 meter persegi (4.76 juta kaki persegi), menurut CSIS.

“Sebuah bangunan teluk tinggi di dalam kemudahan itu cukup besar untuk menampung peluru berpandu balistik antar benua Hwasong-15 yang tinggi dan keseluruhan varian peluru berpandu balistik Korea Utara yang diketahui,” kata laporan itu.

“Kemudahan ini telah dibina di sebelah sebuah kemudahan bawah tanah yang ukurannya juga cukup besar untuk menampung semua peluru berpandu balistik Korea Utara yang terkenal dan pelancar serta kenderaan sokongan yang berkaitan.”

”Bangunan-bangunan tersebut dihubungkan oleh rangkaian jalan permukaan luas yang dapat membantu menggerakkan trak besar dan peluncur peluru berpandu balistik, kata laporan itu. – MalaysiaGazette