KUALA LUMPUR – Dua tahun lalu, penyanyi remaja berusia 18 tahun ini muncul dengan single sulung berjudul Sinar.
Kejayaan lagu itu menjadikan nama Megat Rahim cukup dikenali dalam kalangan peminat dan pencinta muzik pop jazz.
Terbaharu, Megat Rahim atau nama sebenarnya Megat Abdul Rahim Abdul Razak melancarkan lagu Sudahlah hasil ciptaan sepenuhnya komposer, Chubb-E.
Menariknya, bagi single kedua itu Megat mencuba pula genre raggae yang diselitkan eleman Latin.
Megat mengakui genre itu memberikan cabaran baru buatnya dan berharap ia mampu menonjolkan lagi sisi lain dalam dirinya sebagai penyanyi.
“Diakui pada awalnya saya sukar buat keputusan sama ada nak menyanyikan lagu ini atau tidak. Sebab ia genre yang jauh berbeza daripada lagu pertama dan bukan muzik saya.
“Tapi, sebagai penyanyi saya perlu mencuba genre lain sekali gus ingin menjadi penyanyi yang versatil. Insya-Allah, akan datang saya nak mencuba muzik Hip Hop pula,” katanya.
Sudahlah yang dilancarkan dua bulan lalu kini sudah mula dimainkan stesen radio utama negara.
Berita itu menjadikan Megat bertambah yakin jika lagu itu dapat diterima baik peminat muzik tanah air.
“Alhamdulillah, saya difahamkan beberapa radio utama sudah mainkan lagu ini dan masuk carta lagu. Saya dimaklumkan oleh ‘family’ iaitu panggilan kepada peminat saya.
“Mereka sentiasa kemaskini dan ‘tag’ di IG setiap kali lagu ini diputar. Tentu saja saya berasa sangat teruja.
“Malah, saya berharap lagu ini akan hit dan terus mendapat tempat. Sekali gus, orang akan mengenali saya menerusi lagu ini,” katanya.
Berkongsi mengenai lagu itu, Megat mengakui ia susah ketika mula-mula melakukan proses rakaman.
“Genre ini pertama kali saya nyanyikan. Ternyata ia bukan mudah. Ia lain daripada sebelumnya dan susah nak tangkap.
“Tapi, saya enjoy dan cuba yang terbaik. Pertama kali rakam, ia ambil masa empat ke lima jam. Kemudian, saya berehat seminggu sebab menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia.
“Selepas itu, baru saya rakam kali kedua. Alhamdulillah, saya puas hati dengan hasilnya dan tidak menjangka berjaya menyanyikan genre ini,” katanya.
Sama seperti kebanyakan penyanyi baharu lain, Megat Rahim juga berharap dan meletakkan sepenuh keyakinan terhadap lagu itu bagi membawa kerjayanya maju ke hadapan.
“Macam dikatakan, saya sentiasa mencuba benda segar. Dalam pada yang lain muncuk dengan lagu sedih, sebaliknya pula menjadi pilihan saya.
“Saya jenis yang suka dengan lagu yang mudah didengar. Kalau boleh saya tak nak terlalu terikut.
“Saya nak orang faham muzik dan jiwa. Sebab itu saya memilih pop jazz sebagai muzik saya. Ia juga diinspirasikan daripasa ibu bapa saya yang menyukai muzik jazz,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Megat Rahim baharu saja membuka akaun Instagram baharu iaitu @megatrahim28 selepas akaun lama digodam.
Megat Rahim yang juga bekas pelajar di Sekolah Menengah Bandar Utama menjadikan penyanyi Bruno Mars, Michael Buble, Stevie Wonder dan Hael Husaini sebagai idola.
“Dua dua bulan lepas saya pernah pegang gitar dan mencuba cari melodi. Rentak sudah ada, tapi belum ada ‘passion’ tulis lirik sendiri.
“Saya belum yakin ke arah itu. Mungkin ia ambil masa sedikit,” katanya.
Megat juga berkongsi bersedia untuk menyertai mana-mana pertandingan nyanyian bagi mencabar diri sebagai penyanyi.
“Saya pernah pergi menghadiri sesi uji bakat Big Stage musim pertama. Tapi, saya tak lepas sebab umur ketika itu baru 16 tahun.
“Tahun ini mungkin tak ada peluang, jadi saya nak mencuba tahun depan pula. Saya okay untuk bertanding dan sedia untuk menyanyikan apa saja jenis lagu,” katanya.
Untuk menonton lirik video rasmi Sudahlah Megat Rahim boleh terus klik link ini:
https://youtu.be/K_TrvWXBZ98. – MalaysiaGazette