Musim EPL 2020/2021 dikhuatiri mula distadium kosong tanpa penonton

LONDON – Musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019-20 berisiko mungkin dibatalkan sekiranya kelab-kelab bersaing tidak bersetuju untuk beraksi dalam stadium neutral yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Eksekutif Persatuan Pengurus Liganya, Richard Bevan melontarkan kemungkinan itu hari ini.

Menurutnya, satu proses undi akan diadakan pada Isnin 11 Mei ini berhubung cadangan menyambung semula saingan liga musim ini.

Pada 13 Mac lalu segala aksi EPL selepas 29 perlawanan telah digantung ekoran penularan pandemik Covid-19.

Beberapa negara Eropah iaitu, Belanda, Belgium serta Perancis telah membatalkan liga domestik tanpa penentuan pasukan juara da yang tersingkir.

Bevan berkata, masa tidak memihak kepada mereka dan segala latihan harus dimulakan segera sebelum liga membuka tirai 12 Jun ini.

Kesemua 20 kelab komited untuk menamatkan baki 92 saingan bagi musim 2019 pada waktu yang difikirkan selamat.

Bagaimanapun, Brighton berkata mereka tidak menyokong penggunaan venue atau padang perlawanan neutral yang ditetapkan pihak berkuasa bola sepak atas alasan ia akan menjejaskan integriti bola sepak.

Cadangan stadium neutral memerlukan sokongan 14 undi daripada jumlah 20 undi untuk menguatkuasakannya.

Perdana Menteri, Boris Johnson pula dijangka mengemaskini maklumat terbaharu perkembangan Covid-19 di United Kingdom yang menyekat pergerakan rakyat dan pelan melonggarkan syarat pada Ahad ini.

Ditanya sekiranya undi terhadap stadium neutral membawa kepada pembatalan musim, Bevan menjawab itu kemungkinan besar betul dan akan berlaku.

Sebelum ini, beberapa ketua perubatan EPL meluahkan kebimbangan mereka mengenai kecenderungan pengerusi kelab-kelab EPL untuk menyambung semula saingan yang tergantung sejak 13 Mac lalu.

Perkara utama yang mendesak jaminan EPL dalah perlindungan insurans sekiranya mana-mana pemain dijangkiti virus.

Doktor perubatan kesemua 20 kelab EPL mengadakan perbincangan sendiri mengenai pelan menyambung baki saingan liga dan menyediakan pendapat mereka mengenai protokol perubatan, ujian dan kebajikan pemain.

Kesemua protokol berkenaan harus diambil kira bersama penjarakan sosial yang disifatkan agak sukar untuk ditentukan dalam keadaan kritikal sekarang kes jangkitan positif Covid-19 dan kematiannya meningkat setiap hari di negara tersebut.

Sebelum ini, rata-rata pemain Manchester City juga meluahkan rasa takut para pemain EPL untuk kembali meneruskan saingan liga berikutan Covid-19 yang masih mengganas di negara itu.- MalaysiaGazette