Penduduk di sekitar Pasar Jalan Pudu masih boleh berurusan.

KUALA LUMPUR – Suasana di Pasar Pudu pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan seperti biasa selepas proses saringan dijalankan secara besar-besaran semalam.

Para peniaga dan orang ramai yang berurusan di pasar tersebut rata-rata dilihat memakai penutup mulut dan hidung namun rata-rata kerap ‘terlupa’ mengamalkan penjarakan sosial ketika memilih barangan keperluan.

Ia sekaligus mencetuskan kebimbangan apatah dalam keghairan dan kesibukan membeli barang basah orang ramai tidak lagi mengambil peduli SOP keselamatan dam penjarakan sosial yang ditekankan oleh kerajaan dan kementerian kesihatan.

Seorang penghantar barang, Jothibarathi, 40, ketika ditemui melahirkan rasa terkejut melihat suasana di pasar itu kerana orang ramai tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan supaya rakyat negara ini melaksanakan penjarakan sosial satu meter.

“Kalau nasihat suruh amalkan penjarakan sosial bukan orang ramai nak dengar pun..

“Mereka berpusu-pusu memilih sayur dan barang basah tanpa peduli  sama ada orang sebelah berdiri rapat dan bergesel.

“Risau juga sebab takut nanti kedegilan ini boleh membawa risiko jangkitan Covid-19 semula,” katanya kepada MalaysiaGazette yang membuat tinjauan di Pasar Pudu pagi ini.

Para peniaga di pasar berkenaan juga mendapati para peniaga sibuk dengan urusan masing-masing dan tidak menasihatkan pengunjung supaya mengamalkan penjarakan sosial.

Jumaat lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hampir kesemua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula mulai 4 Mei tertakluk kepada beberapa syarat dan peraturan.  – MalaysiaGazette