KUALA LUMPUR – Pemain sayap kebangsaan yang juga tonggak utama Pahang, Mohamadou Sumareh, mengakui sehingga kini dia masih mengkagumi bekas pemain import PDRM FA dari Maldives, Ali Ashfaq.
Walaupun sudah lima tahun hampir berlalu, Sumareh yang pernah selama dua musim bersama Ashfaq ketika di PDRM, berasakan dia salah seorang pemain terbaik yang pernah bermain di Liga Malaysia.
Tambah Sumareh, pemain kebangsaan Maldives itu sentiasa menghadirkan elemen kejutan untuk membantu pasukan pada minit-minit terakhir permainan serta seorang yang sentiasa tidak pernah kenal erti putus asa.
“Dia seorang pemain yang boleh ubah segalanya di atas padang dan mampu membantu pasukan dari ambang kekalahan kepada kemenangan.
“Ketika pasukan terikat 0-0 dan baki perlawanan tinggal hanya 10-20 minit, ketika itulah saat-saat kejutan akan berlaku apabila ada kalanya dia mampu menjaringkan beberapa gol dalam situasi tidak diduga.
“Dia seorang yang cukup bijak, licik dan sukar mana-mana mengawal pergerakannya malah teknik rembatannya juga mengagumkan kerana banyak kali dapat hasilkan gol dari situasi sukar.
“Kenangan beraksi dengannya di PDRM akan ada jadi antara detik terindah di awal pembabitan saya di Liga Malaysia, ” katanya yang kelahiran Zambia itu.
Ashfaq merupakan salah seorang pemain dalam Barisan XI pilihan Sumareh selain turut memilih orang besi Pahang, Dickson Nwakaeme dan Safawi Rasid dalam senarai penyerang untuk formasi 4-3-3.
Selain itu, Sumareh memilih Farizal Marlias selaku penjaga gol pilihan manakala empat pemain pertahanan ialah La’vere Corbin Ong, Herold Goulon, Muslim Ahmad dan Matthew Davies.
Tiga pemain tengah pilihan Sumareh pula ialah Brendan Gan, Nor Azam Azih dan Natxo Insa.
Dalam pada itu, Sumareh juga menganggap Dickson antara penyerang terbaik yang pernah dia lihat dan mempunyai karakter tersendiri ketika beraksi dengan Pahang.
“Dickson sememangnya kita ketahui mempunyai kekuatan fizikal yang ketara dan boleh memperdayakan semua pemain dalam kotak penalti ketika memegang bola.
“Dia merupakan penyerang terbaik pernah saya beraksi bersama sepanjang saya di Pahang malah kami mempunyai persefahaman yang cukup baik di atas padang.
“Seorang lagi yang saya tidak mahu lupakan ialah Matthew Davies kerana dia seorang pemain yang cukup rajin dan bekerja keras.
“Dia cukup seimbang daripada situasi menyerang atau bertahan kerana sentiasa akan naik membantu bahagian hadapan dan cepat turun di barisan pertahanan ketika pasukan diasak,” katanya. – MalaysiaGazette