TLDM.

BIAR PUN tanggal 27 April telah seminggu berlalu, namun masih belum terlewat untuk mengucapkan selamat ulang tahun ke-86 buat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pelindung samudera negara.

Bezanya, sambutan kali ini diraikan dalam suasana berbeza daripada norma biasa berikutan negara masih belum bebas daripada wabak Covid-19, jadi tiada perbarisan dan penganjuran majlis khusus.

Ia bagaimana pun tidak memadam semangat juang Navy People, iaitu panggilan kepada wira-wira samudera ini.

Pada masa sama, isu di Laut China Selatan terus membayangi berikutan tindakan kapal penyelidik dan kapal-kapal pengawal pantai China yang berada dekat dengan perairan negara sejak bulan lalu.

Tindakan China yang menuntut keseluruhan kawasan di perairan tersebut khususnya kawasan di Kepulauan Spratly bukanlah baharu. Selain China, kepulauan ini menjadi perebutan Taiwan dengan empat anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Vietnam dan Filipina.

China paling lantang dan berani dalam isu pertindihan tuntutan kerana menuntut keseluruhan wilayah maritim merangkumi Kepulauan Paracel, Kepulauan Spratly, Tebing Macclesfied dan Terumbu Scarborough
Tindakan China pula melanggar Deklarasi Kod Tatacara Laut China Selatan (DOC) yang dipersetujui negara itu bersama dengan negara anggota ASEAN apabila terus membuat binaan di wilayah berkenaan.

Mengambil kira faktor geopolitik dan geograstrategik semasa ini, TLDM sentiasa optimis untuk mempertingkatkan pengukuhkan kedaulatan maritim negara dalam menangani cabaran terutama di Laut China Selatan selain sebagai persediaan menghadapi ancaman-ancaman lain.

Dengan kekuatan kira-kira 18,000 anggota tentera profesional, TLDM merupakan sebuah armada bersaiz sederhana yang masih memerlukan suntikan pemodenan.

Bagaimana pun, ekonomi semasa yang perlahan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap rancangan tersebut.

Teras kekuatan TLDM ialah kira-kira 39 buah kapal tidak termasuk dua buah kapal selam. Daripada jumlah tersebut, 14 adalah kapal perang meliputi kelas frigat, korvet dan kapal peronda generasi baru sebagai tunjang utama armada.

Biarpun jumlah aset ini kecil dibandingkan dengan tanggungjawab yang dipikul, namun amanah tersebut digalas penuh wibawa.

Mengoperasikan kapal selam Scorpene misalnya telah meletakkan TLDM dalam kelas tersendiri kerana tidak semua angkatan laut negara-negara di dunia mampu memiliki aset sebegini.

Bukan sahaja kerana kos yang tinggi, tetapi pengoperasian kapal selam berbeza dengan kapal permukaan khususnya soal teknologi serta kemahiran tinggi kru untuk mengendalikan ‘pemusnah senyap’ ini.

Perolehan sistem pemantauan udara tanpa pemandu (UAS) Scan Eagle II daripada Amerika Syarikat (AS) menerusi program Inisiatif Keselamatan Maritim atau Maritime Security Initiative menyaksikan TLDM maju seiring dengan teknologi mutakhir.

Menerusi program ini, AS memberi bantuan dalam bentuk keupayaan dan latihan kepada negara-negara maritim di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Ia bagi menggandakan keupayaan operasi negara-negara sahabat ini di Laut China Selatan dan Lautan Sulu.

TLDM telah ditawarkan dua set sistem UAS iaitu sebanyak 12 buah unit kesemuanya. Kumpulan pertama enam buah UAS diterima Februari lalu yang dilengkapi kamera beresolusi tinggi serta sistem pandang malam.

Sebagai pelindung samudera, tugas TLDM tidak semata-mata dalam aspek pertahanan perairan tetapi turut memainkan tanggungjawab melindungi aset-aset ekonomi negara misalnya menerusi penugasan mengiringi kapal-kapal kargo kepunyaan syarikat perkapalan tempatan.

Semasa Ops Fajar pada tahun 2008 hingga 2011 pula, jumlah kapal yang diringi belayar melalui Teluk Aden sebanyak 504 buah dengan nilai dagang dan aset dilindungi kira-kira RM100 bilion.

Begitu juga tugas mengiringi kapal-kapal MISC yang belayar di perairan serantau membawa nilai dagangan mencecah berbilion ringgit.

Selain itu,menerusi tugas-tugas kawalan maritim pula, sebanyak 124 buah bot-bot nelayan asing berjaya ditahan TLDM sepanjang tahun lalu dengan nilai rampasan sebanyak RM154 juta.

Sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai beberapa kawasan pantai dan perairan yang kaya dengan hasil sumber semulajadi, maka penting keselamatan samudera negara terpelihara. Selamat ulangtahun TLDM ke-86. Sentiasa Berkorban!- MalaysiaGazette

Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu. Beliau boleh dihubungi menerusi laman Facebook menggunakan nama sama.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dari Hishamuddinatau Mat Sabu, yang mengubal dasar pertahanan jika diteliti kesemua mereka tersasar. Semua orang setuju Malaysia adalah negara maritim. Tetapi kita tidak mempunyai asset ketenteraan atau pertahanan yang melambangkan bahawa kita adalah negara maritim. Pembelian pembelian asset banyak tertumpu pada tentera darat dan udara. Tentera udara pun pincang sebab kita tidak mempunyai pengangkutan udara yang mencukupi sekiranya hendak menghantar anggota tentera keSabah/Sarawak dalam jumlah ramai.
    Kita tumpu pada membeli kapal terbang pejuang dan sedikit sahaja pada asset2 pengangkutan. Cuba fikir kapal pengangkutan laut tidak mencukupi serta juga udara. Jika Sabah/Sarawak terancam kita tidak dapat mempertahankan mereka dalam darurat bilamana kita di”serang hendap”. Kita juga tidak mempunyai kapal laut frigate(bertempur) yang banyak.
    Cuba fikir pada kejadian baru2 ini dimana China menceroboh didalam peraiaran kita;
    “Hai Yang Di Zhi 8 was roughly 180 nautical miles from the Malaysian coast – but only 100 nautical miles from the Luconia Shoals, which are claimed by both China and Malaysia in the southernmost part of the South China Sea.”
    “one MMEA vessel has been patrolling in the vicinity in recent days. On Wednesday, that vessel, the KM Pekan, was at the Luconia Shoals” (petikan dari artikel dalam WordPress blog saya).
    Kapal MMEA – KM Pekan tidak mempunyai apa 2 senjata pertempuran laut. Cuma mungkin GPMG. Katakan lah terjadi pertempuran dengan kapal China itu, kelasi2 kita akan mati katak saja.
    Jadi apa maksud artikel ni “TLDM pelindung samudera negara”? A feel good article?

Comments are closed.