Projek solar berskala besar (LLS) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sepang, Selangor dilengkapi dengan 238,140 panel solar dengan kapasiti penjanaan sehingga 50 megawatt (MW).

KUALA LUMPUR – TNB Renewables Sdn. Bhd. (TRe), anak syarikat milik penuh syarikat utiliti elektrik negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalinkan kerjasama dengan Envision Digital International Pte Ltd (Envision Digital) untuk penggunaan aplikasi analisis data besar di ladang solar berskala besar (LLS) di Sepang, Selangor, bagi meningkatkan produktiviti penjanaan tenaga dan kecekapan operasi projek tersebut.

Ladang solar berkapasiti 50 megawatt (MW) itu adalah satu daripada projek solar terbesar di Malaysia yang mempunyai 238,140 panel solar yang menjana lebih daripada 110,000 megawatt tenaga setiap jam (MWh) dalam tahun pertama operasinya pada tahun 2019.

Kerjasama dengan syarikat dari Singapura itu melibatkan penggunaan aplikasi analisis digital berasaskan teknologi awan (cloud) seperti EnlightTM Solar, EnsightTM Solar dan Forecaster.

Menerusi sistem operasi AloT (Artificial Intelligence of Things) oleh Envision Digital, aplikasi-aplikasi ini akan meningkatkan kemampuan TRe untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan serta penggunaan tenaga boleh baharu daripada pelbagai sumber merentasi portfolio aset-aset tenaga syarikat.

Aplikasi EnsightTM Solar Monitoring akan membolehkan pasukan operasi TRe untuk mengakses status operasi secara masa nyata, lantas meningkatkan kecekapan operasi dan penyelenggaraan.

Perisian analisis canggih, EnsightTM Solar membolehkan TRe memantau prestasi penjanaan ladang solar secara terperinci. Manakala perisian pembelajaran mesin (machine learning) dan kecerdasan buatan (AI) membolehkan perisian Forecaster untuk merawal ramalan keadaan cuaca dan penajaan tenaga bagi memastikan TNB dapat mengurus bekalan dan permintaan grid secara efektif.

Pengarah Urusan TNB Renewables, Ir. Mohd Yusrizal berkata “Kami sentiasa mencari penyelesaian teknologi berinovasi yang boleh membantu mempercepatkan perkembangan TRe dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

Ladang solar di Sepang adalah projek solar berskala besar TNB yang pertama di Malaysia.

Dengan penggunaan perisian-perisian berasaskan teknologi awan (cloud), kami boleh memantau dan menganalisa prestasi ladang solar itu dari jauh serta mencapai pulangan pelaburan yang lebih baik.

“TRe juga komited dalam menggunapakai penyelesaian inovatif untuk memacu kemampuan kami bagi menjadi pemaju serta pengurus aset boleh baharu yang berdaya saing di Malaysia dan rantau ini,” kata TNB.

Presiden Antarabangsa Envision Digital, Sylvie Ouziel berkata, “Sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai 20% kapasiti tenaga boleh dibaharu pada 2025, projek seperti ini meningkatkan produktiviti aset-aset tenaga boleh diperbaharui sedia ada melalui penggunaan teknologi AloT adalah penting.

“Penggunaan AloT yang lebih meluas dalam sektor tenaga boleh baharu diharap dapat meningkatkan manfaat daripada teknologi ini,” ujarnya.

Sejak projek ini bermula pada Mac 2019, kedua-dua organisasi telah bekerjasama dalam pelbagai inisiatif melibatkan tenaga boleh baharu dan transformasi digital.

Akhirnya, TRe akan mewujudkan sebuah platform tenaga boleh baharu secara digital yang memanfaatkan sistem operasi EnOS AloT daripada Envision bagi menghubungkan aset serta aplikasi tenaga boleh baharu seperti biogas, biojisim dan hidro mini.

Platform itu bukan sahaja akan membolehkan TRe memantau dan mengurus operasi serta prestasi aset, tetapi ia juga membolehkan TRe menjalankan integrasi operasi melibatkan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui. – MalaysiaGazette