KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya syarikat rakaman, Aries Music melalui pembabitannya dalam industri rakaman menggabungkan enam artis popularnya bagi mendendangkan lagu khas hari raya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Lebih istimewa lagi persembahan lagu oleh artis yang terdiri daripada Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Fara Hazel, Fieya Julia, Luqman Faiz dan Yazid Izaham ini adalah ciptaan komposer lagenda lagu-lagu Melayu deli iaitu Abang S. Atan dengan sentuhan lirik, penyanyi dan pemuisi yang tidak asing, Siso Kopratasa.
“Ia adalah kolaborasi yang mantap menggabungkan sentuhan ‘orang lama’ dengan artis generasi popular terkini bagi mengimbau kenangan lagu-lagu melayu yang berentak asli dan tradisional dengan gubahan muzik kontemporari.
“Kami menjangkakan dengan pengikut yang ramai di media sosial artis-artis kami ini di tambah dengan langganan tetap berjumlah lebih 1 juta pengikut di akaun YouTube Aries Music dan lagu ini dapat dikembangkan menjadi sebuah lagu yang popular dikalangan generasi muda khususnya masyarakat Malaysia amnya,” menurut kenyataan Aries Music lagi.
Mengikut rekod Aiman Tino mempunyai seramai 1.3 juta pengikut di Instagram manakala Sufian Suhaimi 1.1 juta pengikut.
Kedua artis terbabit juga telah dicatatkan memegang rekod penonton teramai bagi kategori lagu Melayu oleh Malaysia Book Of Record (MBO) berdasarkan tontonan di laman YouTube.
Lagu yang diberi judul Suasana Hari Lebaran sudah dimuat naik di laman YouTube Aries Music semalam sebelum boleh didengar di radio-radio kerajaan dan swasta
Ia akan diikuti oleh penjana laman muzik lain seperti Spotify, Joox, Apple Music, We7, Deezer, Grooveshark dan lain-lain.
Aries Music berkata, lagu itu merupakan sumbangan istimewa bagi memeriahkan suasana hari raya meski negara dihimpit pandemik Covid-19 dan dapat mengubat rindu peminat dan terhibur pada Syawal nanti. – MalaysiaGazette