KUALA LUMPUR – Pekebun kecil getah yang masih belum memiliki Kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang diperkenalkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) boleh memohon kad tersebut dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kad PAT-G adalah satu kad dikeluarkan secara percuma oleh LGM bertujuan mewujudkan satu dokumen pengenalan kepada pekebun kecil getah warga negara Malaysia yang memiliki atau mengusahakan kebun getah.
Objektif utama PAT-G adalah untuk mewujudkan pangkalan data utama pekebun kecil getah negara, melancarkan urusan jual/beli getah di peringkat ladang, mengelakkan kecurian getah dan sebagai dokumen sokongan untuk sebarang bantuan ataupun insentif dari pihak kerajaan.
”Sebagai contoh, kad PAT-G adalah antara dokumen yang diperlukan untuk memohon Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang dilaksanakan bermula 2015,” kata LGM.
Sehingga kini, lebih 450,000 kad PAT-G telah dikeluarkan.
Pekebun-pekebun yang ingin memohon kad PAT-G yang baharu dalam tempoh PKP, borang permohonan boleh dimuat turun di laman web rasmi LGM di www.lgm.gov.my. Pautan terus ke borang permohonan adalah http://www.lgm.gov.my/whatsnew/Borang%20Permohonan%20PAT-G%202018.pdf
Borang yang lengkap boleh dipanjangkan ke mana-mana pejabat LGM seluruh negara sama ada dengan penyerahan terus ataupun melalui kotak yang disediakan. LGM juga sedang berbincang dengan agensi-agensi lain untuk membantu mengumpul borang permohonan, terutama di kawasan yang jauh dari pejabat LGM.
Menurutnya, pejabat LGM berkaitan akan menghubungi pemohon melalui telefon sejurus kad PAT-G telah siap untuk diambil oleh pemohon dan pemohon disarankan untuk memastikan syarat kelayakan dan semua dokumen
yang diperlukan adalah lengkap untuk mengelakkan sebarang kelewatan pengeluaran kad.
Namun, permohonan adalah tidak dibenarkan dan perlu ditangguhkan di dalam kawasan yang telah diisytiharkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta sebarang arahan MKN/KKM yang ditetapkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette